KUBANG PASU: Seorang penoreh getah berketurunan Siam, Sayan Prak Sat buntu memikirkan nasib anak sulungnya yang sehingga kini tidak memiliki MyKad walaupun sudah berusia 19 tahun.
Sayan, 46, yang merupakan anak jati Kedah berkata, ketiadaan dokumen pengenalan diri itu menyebabkan anaknya dilingkari pelbagai masalah termasuk tidak memiliki akses pendidikan sempurna selain berdepan halangan ketika mencari pekerjaan.
Mengakui masalah itu berpunca daripada kelalaiannya sendiri dahulu, lelaki yang berasal dari Kampung Huma, Jitra itu sangat berharap ia tidak menjadi beban kepada anaknya, Khathanak.
“Saya mengahwini isteri, Sawitree Darasawang yang merupakan warga Thailand pada 2003 di tempat kami tinggal sekarang iaitu di Kampung Lubok Sengkuang, Changlun. Disebabkan kejahilan dan beberapa masalah lain, kami hanya daftar perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2006.
“Dalam tempoh itu, anak sulung kami lahir pada 2004 di Hospital Jitra. Disebabkan kami lambat mendaftar perkahwinan, surat beranaknya tertera perkataan bukan warganegara dan hingga ke hari ini Khathanak tidak memiliki Mykad,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, dua lagi anaknya iaitu Thawiwat dan Suphanit yang dilahirkan pada 2009 serta 2018 tidak mempunyai masalah taraf warganegara disebabkan perkahwinannya bersama Sawitree sudah didaftarkan pada waktu itu.
“Kami kasihankan Khatanak kerana usianya sudah menginjak dewasa. Dia lahir, membesar dan bersekolah di sini hingga darjah enam sebelum tak dapat teruskan belajar di peringkat menengah akibat masalah ini dan kini berdepan masalah untuk mencari rezeki.
“Saya sering menangis mengenangkan nasibnya. Setakat ini kami sudah buat dua kali permohonan untuk Khathanak dengan permohonan pertama ditolak tanpa dimaklumkan alasannya pada 2013, manakala permohonan pada 2018 hingga kini belum dapat jawapan,” katanya.
Sayan menjelaskan, dia sebenarnya sudah mencuba pelbagai cara untuk memastikan anaknya mendapat taraf warganegara. – UTUSAN










