Hari Kebangsaan bukan sekadar cuti umum

Hari Kebangsaan bukan sekadar cuti umum

Kereta kebal ’Pendekar’ adalah antara aset tentera darat yang turut mengambil bahagian dalam raptai penuh pada perarakan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semangat pat­riotik rakyat terutamanya anak muda dilihat semakin ‘suram’ walaupun negara bakal me­nyam­but Hari Kebangsaan esok.

Sambutan Hari Kebangsaan pada masa ini dilihat lebih dihargai golongan berusia berbanding dengan anak muda.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, mereka yang sudah berumur lebih beremosi dan ada rasa semangat yang terpahat dalam minda mereka kerana melalui perjuangan kemerdekaan dan membangunkan negara pada era 1957.

“Untuk generasi muda hari ini, saya mendapat satu gambaran majoriti mereka tidak begitu memahami signifikan Hari Kebangsaan dan hanya meng­anggap ia sebagai satu hari kemeriahan, cuti umum atau hari yang berpeluang untuk berehat.

“Mereka tidak ada sema­ngat terlibat dalam aktiviti yang mengimbau perjuangan kemerdekaan. Ini mungkin kerana ada ramai yang tidak memen­tingkan sejarah negara,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Menurut Lam Thye, mereka yang lahir selepas 1957 (dilihat) tidak ada hubungan begitu rapat dengan mereka yang memperjuang kemerdekaan, jadi tidak hairan apabila ada jurang besar dalam memahami erti kemerdekaan jika dibandingkan orang berusia dengan anak muda.

Namun, beliau bukan mengatakan generasi muda tidak ada semangat langsung tetapi berharap mereka memahami signifikan kemerdekaan dengan mempunyai semangat yang lebih tinggi kerana generasi lepas tahu tentang pengorbanan, jadi mereka lebih menghargai.

Esok, Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan ke-66 tahun dengan penganjuran sambutan kali ini diadakan di Putrajaya.

Tema Hari Kebangsaan tahun ini adalah ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.

Lam Thye berkata, semangat itu harus diperbetul dengan guru-guru subjek bersejarah perlu memberikan tumpuan untuk bukan sahaja mendidik mereka mengenai sejarah, tetapi menjadikan pelajar menghayati dan menghargai kemerdekaan negara.

Sementara itu sejarawan, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, kebanyakan individu tidak kira tua mahupun muda dilihat terlalu ambil mudah mengenai soal patriotisme terhadap negara.

Lebih ketara katanya, rasa kasih dan sayang terhadap negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang juga kurang menyerlah pada hari ini biarpun sambutan itu cuma setahun sekali.

“Semangat patriotik golongan tua dan anak muda sama sahaja. Di premis persendirian serta rumah pun mana ada gantung bendera, jadi Hari Kebangsaan berlalu sunyi begitu sahaja.

“Mereka ini ambil mudah apabila sudah 66 tahun merdeka, maka senang hati dan tidak kisah, seolah-olah semangat cintakan negara itu sudah tertanam dalam hati.

“Sedangkan, negara berhak mendapat kesayangan daripada rakyatnya. Malaysia ini patut dicintai, (tidak kira) siapa pun pemerintahnya kerana ini negara kita, tempat kita lahir, membesar serta bersekolah.

“Jadi, rakyat Malaysia kena sedar rasa terima kasih kepada negara sebab beri kerakyatan serta kemudahan yang diberikan,” katanya ketika mengulas semangat patriotik yang ditampilkan terutamanya oleh anak muda ketika ini.

Ramlah turut menyeru semua pihak sama ada warga tua mahupun anak muda untuk menunjukkan rasa sayang dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Katanya, tanda kecintaan kepada negara itu boleh disemarakkan dengan menggantung bendera berkenaan di premis serta rumah.

“Kalau tidak naikkan bendera, maka mahu naikkan apa lagi? Itu lambang kita.

“Sambutan setahun sekali ini lagi kita kena tunjukkan rasa sayang kepada negara sama dengan bagaimana kita sayang ibu bapa, keluarga serta harta benda,” katanya.

Sementara itu Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berpendapat, bahang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) menjejaskan semangat menyambut Hari Kebangsaan.

Katanya, ini kerana tumpuan 100 peratus tidak dapat diberikan kepada sambutan berkenaan.

“Dalam kalangan pemimpin negara pun banyak terlibat dalam kempen politik, (sedangkan) sepatutnya waktu mereka 100 peratus sekarang adalah untuk sambutan Hari Kebangsaan, tetapi kita lihat tidak dapat begitu sebab mereka ahli politik, jadi (penting) untuk kelangsungan politik mereka.

“Tetapi, PRN dan PRK itu tidak dapat dielakkan sebab ia wajib diadakan kerana tamat tempoh (Dewan Undangan Negeri) dan kematian penyandang,” katanya.

Dalam masa sama, Kok Seong tidak menolak cara semangat patriotik yang dizahirkan orang ramai itu berbeza mengikut golongan.

“Kalau kita lihat penglibatan anak-anak muda dalam menyambut Hari Kebangsaan itu adalah melalui aspek digital.

“Oleh itu, jika diteliti, mereka menghantar mesej, mencipta apa-apa sahaja kandungan dalam media sosial itu. Maknanya, itulah cara mereka menyambut Hari Kebangsaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN