Hanya lembu hidup Australia dilarang, produk daging boleh diimport

Hanya lembu hidup Australia dilarang, produk daging boleh diimport

AZHARI Sharidan Abu Bakar ketika berucap pada sesi Bicara Santai Maqis bersempena Hari Bertemu Pelanggan di Putrajaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) hanya mengenakan sekatan pengimportan lembu hidup dari Australia sejak Jumaat lepas ekoran penularan kes penyakit kulit kental (LSD) di negara itu.

Justeru menurut Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr. Azhari Sharidan Abu Bakar, produk daging ruminan negara itu yang disembelih masih lagi boleh memasuki pasaran Malaysia.

Beliau berkata, Australia walau bagaimanapun bukan negara sumber utama lembu import kerana sebahagian besar ruminan itu datang dari Thailand.

“Mujur kes ini berlaku selepas musim Hari Raya Aidiladha apabila permintaan daging mula kurang dan kebetulan, jangkitan lembu Australia itu mula dikesan di Indonesia,” jelasnya selepas hadir sesi Bicara Santai Maqis bersempena dengan Hari Bertemu Pelanggan di sini hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengeluarkan arahan sekatan import lembu Australia ekoran penularan kes LSD di negara itu, malah pernah melarang kemasukan lembu dari Thailand susulan isu sama pada 2021 sebelum ditarik balik 15 Mac 2022.

LSD disebabkan virus Poxviridae yang boleh disebar ternakan menerusi gigitan serangga vektor seperti nyamuk dan sengkenit selain rembesan air liur dan hidung haiwan dijangkiti.

Setakat ini, tiada rawatan khusus untuk penyakit itu kecuali sekadar diberi rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder melalui pemberian ubat antibiotik, anti jangkitan dan vitamin.

Menyentuh tahap kesihatan produk daging ruminan negara berkenaan, beliau berkata, isu itu tiada berbangkit kerana sudah diaudit ketat pihak JPV serta agensi berkaitan di sana.

Sehubungan itu, pengguna tidak perlu pun bimbang dengan daging lembu Australia yang selamat dimakan kerana LSD bukannya bersifat zoonotik atau boleh menjangkiti manusia.

Azhari Sahridan menambah, setakat ini hanya ada 100 permit pengimportan lembu Australia di Malaysia dan jumlah itu kurang kerana kos ruminan negara berkenaan amat mahal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN