GRS belum bincang pembahagian kerusi

GRS belum bincang pembahagian kerusi

GRS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perkara berkaitan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang belum dibincangkan oleh pimpinan tertinggi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada ketika ini, fokus kerajaan Perpaduan di Sabah adalah untuk terus melaksanakan segala agenda pembangunan negeri selaras dengan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee agar GRS bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah merupakan pandangan peribadi beliau dan parti SAPP.

“Kita menghormati pandangan beliau ini namun, ia bukan melambangkan pandangan GRS secara kolektif,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu bagi memberi maklum balas mengenai cadangan Teck Lee yang mahukan GRS bertanding di kesemua kerusi DUN pada PRN akan datang.

Presiden SAPP itu berkata, GRS yang kini diangotai tujuh parti tempatan itu tidak perlu berunding dengan parti lain yang ingin menjadi rakan kerjasama mereka pada pilihan raya berikutnya.

Nizam berkata, bagi kerajaan GRS Plus, sokongan dan kerjasama yang telah terjalin dalam kerajaan Perpaduan di Sabah hari ini akan terus diperkukuh dan diteruskan demi kebaikan rakyat dan kepentingan Sabah.

Menurut beliau, kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri adalah stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak dari GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

“Kita hargai dan berterima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh rakan-rakan pimpinan PH Sabah terutama sekali semasa kita menghadapi ‘Langkah Kinabalu’ pada awal tahun ini.

“Langkah Kinabalu adalah krisis politik yang ditimbulkan oleh Parti Warisan dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah,” katanya.

Setakat ini, GRS dianggotai oleh Gagasan Rakyat, SAPP, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN