MUKAH: Kerajaan Negeri Sarawak terbuka kepada sebarang kritikan asalkan bersifat membina, kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelas Premier Sarawak itu, semua ahli parti dalam Kabinet turut memberi jaminan mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk Sarawak dan rakyatnya.
“Kita mengakui tidak ada kesempurnaan, sebagaimana manusia juga tidak sempurna dan kita (GPS) terbuka terhadap kritikan asalkan bersifat membina.
“Bagaimanapun kita yakin bahawa fokus Sarawak di bawah GPS adalah untuk memperkuat ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang dilihat berpotensi menjadi tulang belakang pertumbuhan ekonomi negeri ini menjelang 2030 dan tahun seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Sarawak 2023 di sini hari ini yang dihadiri Pemangku Yang Dipertua Negeri, Tan Sri Mohammad Asfia Awang Nassar.
Abang Johari berkata, bukti perkembangan ekonomi Sarawak telah menunjukkan pendapatan negeri bertambah kepada satu setengah kali ganda kepada RM12 billion pada tahun lepas.
Dalam perkembangan lain Abang Johari kecewa apabila terdapat pemimpin-pemimpin yang menggunakan isu perkauman dan agama semata-mata untuk meraih sokongan politik.
“Tindakan seperti itu bukan sahaja boleh memecahbelahkan masyarakat majmuk, malah tidak baik untuk negara ketika dunia bergelut dengan pelbagai masalah khususnya pasca pandemik Covid-19, konflik dan perubahan iklim global.
“Saya berasa agak sedih kerana kebelakangan ini negara tidak begitu berupaya untuk memfokuskan tenaganya untuk kemajuan keseluruhannya. Satu negara sepatutnya bersatu untuk menghadapi semua permasalahan ini,” tambahnya.
Justeru Abang Johari mengingatkan pertelingkahan dan kelalaian pemimpin akan membawa kehancuran kepada negara.
Berhubung Hari Kebangsaan, Abang Johari menekankan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 adalah sama penting dengan kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963 kerana ia telah mencetuskan idea dan usaha untuk menggabungkan Tanah Melayu dengan Sarawak dan Sabah, termasuk Singapura ketika itu untuk menubuhkan sebuah negara baru pada 16 September 1963 yang dinamakan Malaysia.
Beliau berkata, dalam tempoh 66 tahun, walaupun masih terdapat banyak ruang untuk mengisi erti kebebasan dan kemerdekaan, tidak dapat dinafikan banyak kemajuan telah dicapai oleh negara dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia jika dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau ini. – UTUSAN