Fokus sekuriti makanan dalam Bajet 2024

Fokus sekuriti makanan dalam Bajet 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengutamakan sekuriti makanan dalam pembentangan Belanjawan 2024, Oktober ini bagi memastikan tidak timbul lagi isu kenaikan kos sara hidup.

Langkah ini juga menjamin bekalan makanan yang stabil dan berterusan untuk kegunaan tempatan selain mengurangkan import makanan ke Malaysia yang mencecah RM75.5 bilion tahun lalu.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, isu kenaikan kos sara hidup sudah yang dihadapi oleh masyarakat menjadi seperti ‘gajah di dalam bilik’, tidak boleh dinafikan lagi.

Kata beliau, kenaikan kos sara hidup berkemungkinan berpunca daripada kewujudan tangan-tangan hitam mensabotaj dan pihak yang tidak menjalankan tugas dengan baik untuk memantau keadaan semasa.

“Kita boleh cuba mengelakkan kenaikan ini terus berlaku iaitu antaranya dalam Belanjawan 2024 kerajaan perlu mengutamakan golongan-golongan sekuriti makanan iaitu nelayan, petani dan penternak. Mereka mesti diberi sumbangan dan subsidi lebih besar.

“Namun, perlu ada pihak yang bertanggungjawab untuk memantau kerana kita taknak seperti dahulu di mana kita bagi mereka tetapi tidak tahu sama ada ia dipakai atau dijual kepada pihak ketiga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini rakyat terpaksa berdepan kenaikan harga barangan makanan asas iaitu antaranya ayam, ikan dan juga sayur. Ini didakwa terjadi di­sebabkan bekalan makanan yang kurang sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan permintaan.

Ia mendorong pihak-pihak tidak bertanggungjawab menaikkan harga barang-barang makanan menyebabkan ma­syarakat berdepan kenaikan kos hidup.

Sehubungan itu, pemer­kasaan kos sara hidup dijangka dapat membantu dalam mengimbangi harga barang-barangan tersebut selain menjamin bekalan makanan berpanjangan.

Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula berkata, sekuriti makanan antara perkara penting yang perlu menjadi keutamaan kerajaan memandangkan po­pulasi negara semakin meningkat dari tahun ke tahun.

“Malah, apabila kita memantapkan sekuriti makanan, dapat menghasilkan banyak bekalan jadi ia boleh membantu dalam mengurangkan harga,” katanya.

Tambahnya, kerajaan boleh membuka kawasan baharu untuk meningkatkan aktiviti pertanian dan peternakan, selain itu melakukan inovasi baharu bagi mendorong produktiviti serta mencari alternatif untuk melakukan aktiviti-aktiviti berkaitan sekuriti makanan.

“Kerajaan kena menggalakan masyarakat kita untuk bercucuk tanam atau membuat pertanian sekurang-kurangnya untuk keluarga mereka sendiri. Antara yang mudah dilakukan seperti cili, kangkong dan seumpamanya. Ini membantu meningkatkan bekalan.

“Selain itu, melibatkan golongan belia untuk menceburi sektor pertanian ini, beri galakan daripada segi modal untuk mereka memulakan, turut boleh diberikan kursus untuk memastikan mereka tahu teknik-teknik yang betul,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perundingan Pertanian Negara, Prof. Datin Paduka Fatimah Mohamed Arshad berkata, pemerkasaan sekuriti makanan bukan sahaja bertujuan menyediakan makanan untuk rakyat tetapi juga tahap kesihatan.

“Kita berhadapan masalah anak-anak kita bantut dan kebanyakan masalah tersebut berlaku dalam kalangan miskin dan pendapatan sederhana, selain itu negara kita juga merupakan di tangga satu dalam Asia untuk masalah obesiti.

“Jadi sekuriti makanan ini amat penting bukan setakat penyediaan bekalan makanan tetapi juga mengenai kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN