SIK: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan terus berada di bawah Perdana Menteri selagi masalah-masalah asas yang membelenggu kumpulan peneroka serta penduduk di tanah rancangan tersebut tidak diselesaikan sepenuhnya oleh kerajaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hanya selepas masalah-masalah tersebut selesai baru beliau bercadang untuk menyerahkan agensi berkenaan kepada menteri yang sepatutnya bagi terus mengangkat martabat Felda dan para pesertanya.
“Saya nak rayu semua, Felda ini kubu, Felda ini mempunyai sejarah tersendiri. Felda ini jasa (bekas Perdana Menteri) Allahyarham Tun Abd. Razak Hussein dan saya setakat ini sebagai Perdana Menteri, Felda di bawah saya.
“Orang tanya pasai apa tak bagi kepada orang (menteri) lain. Tak, saya tau masalah Felda, saya nak selesai perkara-perkara pokok Felda, kalau bila nampak boleh selesai baru saya nak serah kepada menteri lain jaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Karnival Segalanya Felda di Padang Awam Felda Teloi Timur di Jeneri, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, Felda memiliki pelbagai masalah yang perlu diuruskan dan disebabkan itu beliau mahu ianya diselesaikan sepenuhnya sebelum bercadang untuk menyerahkan tanggungjawab terhadap agensi itu kepada menteri lain.
“Saya juga dah bagi mandat penuh kepada Pengerusi Felda yang baharu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kerana saya tahu dia ada keupayaan dan serius nak selesai masalah. Saya pesan kepada beliau ‘hang jalan kerja’, kalau ada masalah bagitau saya akan cuba bawa perubahan sedaya upaya.
“Tapi oleh kerana sistem negara kita memerlukan sokongan rakyat, maka untuk Felda saya mahu Felda dan peneroka Felda daripada generasi pertama hingga ketiga tunjuk komitmen baik kerana saya sedaya upaya dalam masa singkat ini telah cuba sebanyak mungkin,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, tiada siapa yang boleh menafikan jasa Kerajaan Perpaduan yang baru lapan bulan mentadbir negara khususnya dalam soal membantu Felda antaranya pelupusan hutang, isu talian internet, pusat dialisis, sekolah daif dan lampu jalan di kawasan Felda.
“Sudah berpuluh tahun (isu ini melanda). Kerajaan (hari ini) baru lapan bulan kita dah buat (macam-macam). Bayangkan kalau kita pegang (memerintah) sehingga lima tahun, saya tak lupa jasa orang Felda,” katanya.
Untuk rekod, Anwar pada akhir Jun lalu menandatangani dokumen pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion selain mengumumkan peruntukan sebanyak RM7.7 juta setahun bagi menanggung kos operasi lampu jalan di kawasan Felda.
Kerajaan juga akan membina 12 buah Pusat Hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di kesemua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya yang dijangka dapat memberi manfaat dan meringankan beban hampir 2,000 pesakit di kawasan rancangan itu. –UTUSAN