YAN: Polis memburu dua lelaki yang dipercayai mencuri wang masjid berjumlah RM2,000 dalam kejadian di Masjid Ar-Rahmah, Sungai Belida di Guar Chempedak, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, perbuatan suspek disedari oleh Timbalan Pengerusi masjid berkenaan yang tiba untuk menunaikan solat Subuh pada pukul 5.30 pagi, keesokan harinya.
“Pengadu mendapati pintu bilik imam dan bilik gerakan dipecah, manakala kunci berselerak di atas lantai. Beliau kemudian bersama ahli jawatankuasa (AJK) masjid membuat pemeriksaan dan mendapati wang tunai RM1,500 yang disimpan di dalam laci bilik imam tiada,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shahnaz berkata, pemeriksaan lanjut mendapati sebuah tabung besi dipecahkan dan wang tunai RM400 di dalamnya hilang, sementara wang kutipan harian berjumlah RM100 turut dilarikan.
“Sebaik menerima laporan, polis bergegas ke masjid dan hasil semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku pada pukul 11.19 malam, Ahad. Suspek didapati memasuki masjid melalui pintu utama yang tidak dikunci bagi memudahkan jemaah masuk menunaikan solat,” katanya.
Menurut Shahnaz, terdapat kesan umpil di pintu bilik imam dan bilik gerakan selain kesan selongkar yang dilakukan oleh dua suspek yang dipercayai penduduk tempatan.
“Polis mengesan beberapa cap jari di lokasi kejadian dan kita sedang menjejaki suspek dengan bantuan CCTV masjid berkenaan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. –UTUSAN