SHAH ALAM: Seorang usahawan muda nekad meninggalkan kerjaya sebagai doktor mata untuk menceburi perniagaan dengan menjual hampas soya dan mengusahakan ternakan lembu sebagai sumber pendapatan.
Azmawi Punari, 34, membuat keputusan sedemikian selepas mendapati perniagaan dalam bidang tersebut kurang memberangsangkan menyebabkan dia sanggup menjadi penternak lembu.
“Kerjaya sebagai doktor mata atau optometris adakalanya mengambil masa yang lama untuk menerima pelanggan menyebabkan saya sanggup menjadi penternak lembu dan kini menjual hampas soya untuk makanan ternakan.
“Saya sudah empat tahun mengusahakan ternakan lembu dan menjual makanan ternakan seperti hampas soya yang kini mendapat sambutan kerana kosnya lebih rendah daripada sumber makanan yang mengalami kenaikan harga.
“Hampas soya ini menjadi pilihan dalam kalangan penternak untuk dicampur bersama rumput kering sebagai makanan haiwan seperti lembu, itik dan angsa juga,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Jalan Bakri.
Tambahnya, dia menggunakan media sosial seperti TikTok sepenuhnya untuk mempromosi hampas soya kepada usahawan penternakan.
Malah, Azmawi yang dikenali dalam aplikasi TikTok dengan tagline ‘Nama Saya Mawi Bukan Penyanyi’ memaklumkan perniagaannya menerima permintaan tinggi ketika musim perayaan terutamanya Hari Raya Aidiladha pada Jun lalu.
“Ladang ternakan seluas 1.4 hektar saya turut dijadikan pusat penyembelihan sempena program ibadah korban dan untuk peniaga daging.
“Apabila tiba Hari Raya Haji ramai warga asing beragama Islam yang datang menempah kambing atau lembu untuk dibuat korban. Ia perkara rutin setiap tahun,” jelasnya.
Katanya, bagaimanapun dia tidak meninggalkan bidang optometris sepenuhnya.
Sebaliknya jelas Azmawi lima cawangan kedai cermin mata di sekitar Lembah Klang dan Sabah yang dimilikinya kini diusahakan sepenuh masa oleh isterinya. – UTUSAN










