DNA waris diambil untuk padan identiti mangsa

DNA waris diambil untuk padan identiti mangsa

RAZARUDIN Husain memberikan taklimat kepada waris-waris mangsa nahas pesawat yang hadir di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, semalam. -UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kira-kira 200 cebisan mayat serta anggota badan yang ditemukan di lokasi kejadian diserahkan kepada Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk proses bedah siasat. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, kesemua anggota dan cebisan mayat itu antaranya tangan, kepala serta kaki dipercayai terputus daripada mangsa.

“Pihak forensik akan buat bedah siasat terhadap anggota badan manakala 200 cebisan mayat yang ditemukan itu akan dihantar ke Jabatan Kimia.

“Forensik juga telah mengambil semua asid deoksiribonukleik (DNA) seramai 22 waris mangsa untuk dipadankan dengan badan mangsa ditemukan,” katanya dalam sidang akhbar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah hari ini. 

Bagaimanapun, menurut Razarudin, proses pemadanan dan pengecaman mayat itu dijangka mengambil masa yang lama.

“Kemungkinan paling awal boleh selesai pada Isnin ini,” katanya.

Razarudin berkata, sebaik proses bedah siasat selesai jenazah mangsa akan diuruskan oleh pihak hospital bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kerajaan negeri Selangor untuk urusan selanjutnya.

Menurutnya, identiti pemandu kereta terlibat juga sudah dikenalpasti sebagai pemandu e-hailing dan tidak membawa penumpang selepas semakan dengan syarikat berkaitan dilakukan.

“Pemandu kereta pula sudah reject penumpang daripada pukul 2 petang, kita sudah semak dengan Grab dan dia memang reject penumpang tersebut, jadi kita syaki bahawa dia seorang.

“Tetapi human remain nanti bila kita buat DNA nanti baru kita tahu ada terlebih atau tidak, daripada situ unit forensik akan tentukan. Buat masa ini kita anggap dia (pemandu kereta) seorang sahaja,” ujarnya.

Dalam nahas ngeri pukul 2.40 petang semalam itu, 10 individu disahkan meninggal dunia dengan lapan daripadanya adalah juruterbang dan penumpang pesawat ringan tersebut.

Dua lagi mangsa adalah seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang ketika nahas melalui lokasi kejadian.

Antara penumpang pesawat yang maut adalah Exco Pahang dengan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Ketika kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Pesawat itu dikesan melencong ke kanan dari laluan penerbangan dengan siasatan awal mendapati pesawat berkenaan sudah mendapat kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan Lapangan Terbang Subang. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN