Demam politik terus landa Malaysia sehingga PRU16

Demam politik terus landa Malaysia sehingga PRU16

Sejumlah 33,983 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan automatik sebagai pemilih baharu dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dijangka tidak sunyi demam politik berikutan terpaksa berdepan beberapa siri pilihan raya saban tahun sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pada 2027.

Hal ini kerana rakyat dijangka berdepan sekurang-kurangnya empat siri pilihan raya negeri (PRN) dalam tempoh empat tahun akan datang memandangkan terdapat negeri tidak dibubarkan serentak bersama Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana beberapa faktor antaranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan lebih awal daripada tempoh genap lima tahun.

Paling awal di Sabah pada 2025 apabila cukup genap lima tahun DUN pada November tahun sama sekali gus terpaksa diadakan PRN dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran dewan secara automatik dan seterusnya di Melaka pada 2026.

Bakinya pula adalah tiga siri pilihan raya yang dijangka pada 2027 termasuk PRU16 untuk memilih 222 ahli Parlimen seluruh negara di samping Sarawak dan Johor yang cukup genap lima tahun kedua-dua DUN dalam tahun sama.

Hanya 2024 menjadi satu-satunya tahun negara tidak berdepan kehangatan pilihan raya melainkan berlaku kekosongan luar jangka kerusi disebabkan kematian wakil rakyat atau penyandang meletak jawatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana pilihan raya hendak diadakan dalam tempoh 60 hari sekiranya Parlimen dan DUN terbubar sendiri selepas tamat tempoh lima tahun.

Sebaliknya kata beliau, perkara itu dapat dielakkan jika PRU16 diawalkan dan semua negeri bersetuju membubarkan DUN secara serentak supaya pilihan raya dapat dilaksanakan serentak.

Wan Omar berkata, kegagalan untuk melakukan pilihan raya serentak menyebabkan kelesuan politik dalam kalangan pengundi sekali gus menjadi punca kemerosotan peratusan keluar mengundi seperti enam PRN Sabu lalu.

“Malah, ia menyebabkan ketidakstabilan politik dan turut memberi kesan kepada pelabur, apabila setiap masa masyarakat berhadapan kehangatan politik yang tidak kesudahan sekali gus tidak langsung memberi keuntungan kepada rakyat.

“Perbelanjaan kerajaan juga meningkat, misalnya kos enam PRN menelan RM420 manakala kos PRU15 mencecah RM1.01 bilion. Jika setiap kali pilihan raya, kerajaan terpaksa mengeluarkan dana dan ia merugikan, lebih baik wang dibelanjakan untuk membina dan menambahbaik kemudahan awam,” katanya.

Kelmarin, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengakui peratusan keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya negeri pada 12 Ogos lalu boleh dielak jika diadakan bersama dengan PRU15 November tahun lalu.

Hal ini setelah enam PRN membabitkan Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan mencatatkan peratusan keluar mengundi sekitar 60.96 dan 74.79 peratus iaitu lebih rendah berbanding sasaran SPR yang menyasarkan 85 peratus.

Pada masa sama, Wan Ahmad berkata, kegagalan pilihan raya serentak berpunca daripada sikap penting diri pemimpin politik yang mengejar kepentingan politik masing-masing sekali gus mendatangkan banyak masalah kepada negara dan pembaziran dana awam.

“70 peratus pengundi terdiri daripada dalam kalangan tidak kepartian dan atas pagar yang merasakan terlalu banyak pilihan raya tidak berfaedah, sebaliknya ia cuma menguntungkan ahli politik tetapi bukan kepada rakyat biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×