Dasar Gaji Progresif ruang tambah baik gaji majikan, pekerja

Dasar Gaji Progresif ruang tambah baik sistem gaji majikan, pekerja

Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif secara sukarela memberi ruang menambah baik sistem gaji antara majikan dan pekerja di negara ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat secara sukarela memberi ruang pertimbangan untuk menambah baik sistem gaji antara majikan dan pekerja di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, DGP turut berteraskan insentif dan berhubung kait dengan produktiviti dan merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum akan disusuli garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan dan peringkat.

Sebab itu, katanya, MEF secara dasarnya bersetuju dan terbuka menerima DGP kerana pelaksanaannya adalah secara sukarela di pihak majikan dan pekerja.

Beliau akui, sebelum perbincangan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 7 Ogos lalu, kenyataan-kenya­taan media berkaitan DGP ba­nyak menimbulkan kekeliruan terutamanya bila ada kenyataan berkaitan kenaikan gaji tahunan dibawah DGP adalah mandatori.

“Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat MTEN telah menjernihkan keadaan dan memberi lebih pencerahan mengenai DGP.

“Perdana Menteri menyatakan bahawa cadangan DGP akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk memperhalusi meka­nisme pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka ke­perluan memperuntukkan dana sebagai insentif berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan serta keperluan dasar.

“Adalah penting DGP mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja,” katanya ketika dihubungi.

Dalam masa sama, Dr. Syed Hussain berharap DGP membantu syarikat terutama maji­kan perusahaan mikro, kecil dan sederhana meningkatkan kemahiran.

Katanya, ia melalui latihan bersijil, peningkatan prestasi dan produktiviti dan seterusnya pekerja akan diberikan kenaikan gaji yang sebahagian besarnya akan diberikan subsidi oleh kerajaan untuk sekurang-kurangnya tiga tahun.

“Di bawah DGP, jurang perbezaan gaji di peringkat terendah akan ditingkatkan secara progresif agar jurang gaji terendah dengan gaji penengah dapat dikurangkan. Seterusnya dapat memberi laluan kerjaya yang lebih cerah untuk para pekerja,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Kong­res Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani menganggap, walaupun pelaksanaan DGP bersifat sukarela, ia satu permulaan baik ke arah sistem gaji lebih baik.

“Ia satu permulaan baik bagi membolehkan kita melihat keberkesanan dasar ini secara serta-merta dalam soal membantu pekerja terutama mereka yang baru memasuki alam pekerjaan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×