PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dasar Gaji Progresif adalah bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.
Perdana Menteri berkata, model dasar itu diusulkan setelah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja.
Katanya, dasar itu yang merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan dan peringkat.
“Sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri yang dinyatakan dan MTEN berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak syarikat dan pekerja yang mungkin,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MTEN di Putrajaya semalam.
Anwar berkata, langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja.
Katanya, perkara ini akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.
“MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara,” katanya.
Menurut Anwar, mesyuarat MTEN semalam yang berbincang mengenai cadangan Dasar Gaji Progresif itu adalah satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan gaji lebih seimbang.
Katanya, isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan kerana lebih dua juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan seperti mana Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 seperti dibentangkan pada minggu lalu.
Beliau berkata, situasi itu lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20-24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan.
“Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40-49 tahun sepanjang kerjaya mereka,” katanya.
Kata Perdana Menteri, Gagasan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat merupakan wadah yang menetapkan hala tuju negara dalam tempoh sederhana terutamanya untuk meletakkan negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan di kalangan 30 ekonomi terbesar dunia.
“Dalam masa yang sama, berikutan peratusan pendapatan pekerja Malaysia telah menurun daripada 37.2 peratus pada 2020 kepada 32.4 peratus pada 2022, kerajaan menetapkan sasaran nisbah ini agar meningkat kepada 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF),Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, dasar yang akan diperkenalkan ini tidak membeban majikan, malah sebaliknya kerajaan akan memberi sokongan pada mereka yang mengambil bahagian.
Katanya, majikan dan kesatuan sekerja telah bersetuju menyusun pelan pelaksanaan yang lebih terperinci bagi melaksanakannya namun pelaksanaannya mengambil sedikit masa kerana subsidi kerajaan akan menjadi tinggi,
“Kerajaan amatlah memahami kesukaran yang dihadapi oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), malah mereka telah merancang dengan teliti agar tiada pihak yang terbeban,” ujarnya. –UTUSAN










