Cari punca penyokong protes, bukan laksana pemutihan UMNO

Cari punca penyokong protes, bukan laksana pemutihan UMNO -Isham Jalil

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO perlu mencari punca mengapa penyokong tegar parti itu protes dan menyokong parti lawan, bukannya melaksanakan pemutihan ke atas ahlinya. 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, ahli parti itu tidak perlu diputihkan atau dibuang atas sebab mereka mengundi atau disyaki mengundi parti lain. 

Beliau berkata, ini kerana bilangan ahli dan penyokong parti itu di peringkat akar umbi akan berkurangan sekiranya mereka dibuang atau diputihkan. 

“Mereka akan lebih marah dan benci kepada UMNO dan akan jadi penyokong tegar parti lawan. Ini yang parti lawan kita mahu. 

“Sebaliknya kita perlu cari dan akui sebab dan punca mengapa penyokong-penyokong tegar kita yang selama ini menyokong UMNO kini protes dan menyokong parti lawan. Punca dan sebab ini perlu ditangani segera. 

“Jika dahulu penyokong-penyokong tegar kita menjadi perayu undi kepada penyokong atas pagar, saya lihat kini perayu-perayu undi kita pun sudah hilang kepercayaan dan perlu diyakinkan. 

“Kita perlu yakinkan mereka dengan kebenaran dan keikhlasan, bukannya retorik dan spin politik,” katanya dalam hantaran di media sosial. 

Keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) kelmarin menyaksikan UMNO yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 19 kerusi daripada 108 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi. 

UMNO gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu manakala parti itu cuma mengekalkan kemenangan di satu kerusi DUN di Kelantan iaitu di Galas. 

Pencapaian terbaik UMNO adalah di Negeri Sembilan selepas memenangi 14 daripada 17 kerusi DUN dan masing-masing dua kerusi di Pulau Pinang serta Selangor. 

Mengulas lanjut, Isham berkata, penyokong tegar parti itu perlu diyakinkan semula berkenaan halatuju dan perjuangan. 

Katanya, ini kerana beliau melihat mereka mahukan perubahan yang drastik dan bukan hanya retorik. 

“Jika kita kekal dalam sindrom penafian, kita tidak akan berubah. Jika kita tidak berubah di saat getir ini, kita akan tamat sebab kita tidak sedar diri walaupun kita sudah pun rebah. 

“Jika kita tidak berubah, lawan kita akan bertepuk tangan sehingga ke PRU-16, ini yang mereka mahu, iaitu UMNO hancur di tangan diri sendiri. 

“Untuk bangun kita perlu ikhlas dan jujur dengan diri sendiri dan merubah keadaan. Dan kita perlu ada keberanian untuk membawa perubahan ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN