LANGKAWI: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tetap dengan pendirian untuk tidak akan mendedahkan siapa calon Menteri Besar gabungan itu di Kedah walaupun yakin dengan momentum untuk menubuhkan kerajaan negeri pasca pilihan raya negeri (PRN) ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka memiliki calon yang berwibawa untuk mengemudi negeri Jelapang Padi tersebut tetapi fokus ketika ini adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya majoriti mudah yang diperlukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
“Daripada segi itu apa yang penting kita cukupkan (jumlah) kerusi dahulu kepada 19 atau lebih daripada itu. Insya-Allah kita ada calon walaupun kita tak umumkan.
“Kesepakatan ini kami telah capai tetapi kita tidak umumkan (awal). Kita tidak mahu mendahului takdir ataupun kuasa Allah. Bila kita capai jumlah itu, insya-Allah kita akan umumkan,” katanya ketika diminta mengulas siapa calon Menteri Besar Kedah susulan momentum sokongan yang dikatakan semakin memihak kepada BN dan PH.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu merasmikan Program Desa Cerdas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Taman Nilam, Ayer Hangat di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH dan BN yakin mampu menawan 19 kerusi DUN Kedah berdasarkan sambutan pada hujung minggu pertama kempen serta gerak kerja jentera dan peluang untuk menyampaikan mesej kepada rakyat di negeri itu.
Ketika ditanya sama ada calon Menteri Besar yang sudah diputuskan itu akan datang daripada BN atau PH, Ahmad Zahid berkata, calon tersebut berdasarkan persetujuan kedua-dua gabungan.
Dalam perkembangan lain, Presiden UMNO itu menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu yang ‘gila talak’ apabila terus mencampuri urusan UMNO.
“Dia yang merosakkan UMNO. Dia ini sama dengan (bekas pemimpin) yang lain-lain yang ditendang daripada UMNO. Sebab depa (mereka) ini gila talak. Saya ingat kita tak (perlu) layanlah orang-orang gila talak ini,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin di Terengganu, semalam yang mahu menumbangkan Ahmad Zahid sekiranya masih berada dalam UMNO kerana telah melakukan terlalu banyak kerosakkan termasuk menggadai prinsip perjuangan apabila bekerjasama dengan DAP.
Sementara itu, Ahmad Zahid tidak mengetahui sekiranya benar terdapat gerakan besar-besaran melibatkan pengundi muda yang mahu memboikot PRN kali ini kerana didakwa penat berpolitik selepas baru sahaja selesai mengundi pada November lalu.
“Saya tidak dapat mengesahkan gerakan itu sama ada secara besar-besaran, tetapi saya yakin anak-anak muda pasti akan turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan kepada calon masing-masing dan kali ini gelombangnya adalah kearah calon-calon kerajaan Madani atau kerajaan Perpaduan,” katanya. –UTUSAN










