PETALING JAYA: Penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan, 31, memilih Nadeera Zaini, 30, untuk berkongsi pentas semasa konsertnya di Kuala Lumpur bulan hadapan.
Keputusan tersebut dibuat oleh penyanyi Kekasih Bayangan itu dan pasukannya selepas terpikat dengan lontaran vokal Nadeera yang disifatkan amat bagus.
“Saya suka membuka diri berkolaborasi dengan individu baharu. Dengan sesiapa pun boleh. Mereka (penganjur) ada senaraikan beberapa nama.
“Selepas berbincang dengan pasukan, kami mengundang Nadeera ke konsert saya kerana vokalnya juga bagus.
“Semoga saya masih boleh berkolaborasi dengan Nadeera walaupun selepas konsert,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa sesi sidang akhbar secara dalam talian Konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur.
Sementara menunggu tarikh konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September depan, pemilik nama penuh Cakra Konta Paryaman kini sibuk membuat persiapan khususnya mendapatkan rehat yang cukup.
“Banyak penyanyi mengalami masalah semasa persembahan kerana kurang sihat. Apalagi dalam keadaan cuaca yang sedang tidak berapa baik.
“Saya berlatih setiap hati dan berehat,” tambahnya yang menjanjikan sebuah persembahan kejutan semasa konsert itu nanti.
Teruja dengan kesempatan ini, Nadeera yang juga juara program Big Stage musim kelima menganggap pelawaan Cakra Khan kali ini sebagai sebuah permulaan baharu dalam karier nyanyiannya.
“Terima kasih Cakra kerana sudi menjemput saya. Saya tak sangka akan bersama sepentas dengan penyanyi Indonesia yang hebat sepertinya.
“Sebagai penyanyi baru, kesempatan ini sangat saya hargai. Gementar sebenarnya,” katanya yang bakal membawakan empat lagu pada malam itu nanti.
Tiket Konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur yang juga merupakan rangka persembahan Dream Festival Collaboration Volume 4 itu dijual bermula harga RM178 (Kepada Hati), RM198 (Terlanjur Cinta), RM318 (Kekasih Bayangan), RM508 (Tanpa Batas Waktu) dan RM5,880 (Royal Box untuk lapan penonton). Tiket boleh diperoleh di laman sesawang : www.ticket2u.com