ALOR SETAR: Keyakinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk sekurang-kurangnya menang dengan majoriti mudah dalam pilihan raya negeri (PRN) bagi membentuk kerajaan negeri Kedah mempunyai asas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, gabungan itu hanya memerlukan sekitar 10 peratus undi yang diraih Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya lalu.
Katanya, sekiranya jumlah tersebut dicapai bukan mustahil untuk PH dan BN mentadbir negeri Jelapang Padi tersebut yang ketika ini dilihat ketinggalan sejak beberapa tahun lalu.
“Sejak hari penamaan calon sampai sekarang kita nampak Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan kepada Kedah. Ada potensi untuk Kerajaan Perpaduan rampas Kedah daripada PN.
“Isu melibatkan unsur nadir bumi (REE), hina institusi diraja dan prestasi kerajaan negeri yang tidak memberansangkan sejak PN ambil alih selepas Langkah Sheraton menyumbang potensi itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, mereka hanya memerlukan tiga lagi kerusi untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu melalui keputusan majoriti mudah setelah berjaya menggenggam 16 kerusi.
Menurut Mohd. Azizuddin, kepentingan untuk menyelaraskan pentadbiran antara kerajaan negeri dan Persekutuan di Kedah amat mustahak selepas melihat tindak-tanduk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, selama ini.
Kata Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa UUM itu, rakyat negeri ini akan terbeban sekiranya Kedah terus ditadbir PN memandangkan dasar konfrontasi diamalkan kerajaan negeri ketika ini akan kekal.
“Ekonomi negeri juga sukar untuk berkembang dan sebaliknya dasar ekonomi Madani terus memberi tumpuan kepada usaha membasmi kemiskinan tegar dan kepentingan sektor pertanian terutama tanaman padi yang berkait keselamatan makanan negara,” katanya. – UTUSAN











