BSKU bawa pakar penerbangan AS Isnin ini

BSKU bawa pakar penerbangan AS Isnin ini

ANTARA waris mangsa dan ahli keluarga yang hadir di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. -UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bersama pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) akan ke lokasi nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Elmina, Shah Alam, Isnin ini, bagi menyiasat punca nahas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, bagi memastikan bangkai pesawat tersebut terjaga, pihaknya akan melakukan kawalan 24 jam di lokasi kejadian.

Katanya, ia antara lain bagi mengelakkan bangkai pesawat yang juga adalah bahan bukti tidak diganggu oleh mana-mana pihak sehingga siasatan pasukan BSKU selesai.

“Tugas polis membantu mengeluarkan mangsa, mencari cebisan, mengumpul dan melakukan penandaan terhadap barangan peribadi mangsa serta membantu mencari kotak sudah pun selesai.

“Jadi, sekarang kita hanya membuat kawalan keselamatan terhadap bangkai pesawat 24 jam sehari sehingga pasukan BSKU dengan pakar penerbangan dari AS tiba yang dijangka Isnin ini untuk menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Difahamkan, laluan di Elmina yang ditutup susulan nahas pesawat tersebut sejak semalam akan dibuka kepada pengguna sekitar jam 3 petang ini, namun, sehingga kini pasukan keselamatan masih berada di lokasi kejadian.

Dalam nahas ngeri jam 2.40 petang semalam itu, 10 individu disahkan meninggal dunia dengan lapan daripadanya adalah juruterbang dan penumpang pesawat ringan tersebut.

Dua lagi mangsa adalah seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang ketika nahas melalui lokasi kejadian.

Antara penumpang pesawat yang maut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Ketika kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Pesawat itu dikesan melencong ke kanan dari laluan penerbangan dengan siasatan awal mendapati pesawat berkenaan sudah mendapat kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan Lapangan Terbang Subang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN