KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam yang bank pusat itu pada 2015 telah mengesyorkan agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan dua lagi bekas eksekutif syarikat pelaburan Malaysia itu.
Dua lagi individu itu ialah bekas pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan bekas pegawai pelaburan 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil.
Pada hari pertama Zeti memberi keterangan di mahkamah, beliau memberitahu walaupun terdapat bukti berhubung penyelewengan dana 1MDB, AGC di bawah kendalian bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengklasifikasikan siasatan BNM itu sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA).
Walaupun BNM menulis surat agar AGC mempertimbangkan semula keputusan NFA tersebut, masih tiada tindakan dibuat malah surat tersebut juga tidak diberikan sebarang maklum balas.
Zeti mendedahkan perkara itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai siapa individu yang disyorkan BNM kepada AGC untuk pendakwaan.
Wanita pertama yang menjadi Gabenor BNM itu juga memberitahu mahkamah bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak memainkan peranan bagi memastikan Jaminan Kerajaan dalam menerbitkan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) diluluskan oleh Kabinet.
“Beliau (Najib) merupakan penasihat. Beliau memegang jawatan eksekutif bukannya jawatan bukan eksekutif, jadi, beliau akan ada pengetahuan mengenai pelaburan yang akan dilakukan.
“Jaminan Kerajaan itu merupakan salah satu sebab BNM memberi kelulusan untuk pemindahan dana. Lembaga pengarah 1MDB juga meluluskannya. Kabinet juga meluluskannya.
“Beliau (Najib) yang membawa jaminan kerajaan itu ke Kabinet untuk diluluskan, beliau (selaku Menteri Kewangan) yang menjamin pelaburan itu dan 1MDB merupakan syarikat yang dimiliki 100 peratus oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan). Jadi, tiada alasan untuk BNM tidak meluluskannya,” katanya.
Zeti berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Shafee sama ada beliau tahu peranan yang dimainkan Najib berhubung pengiriman dana AS$1 bilion ke luar negara bagi projek usaha sama 1MDB-Petrosaudi International Ltd (PSI) kepada entiti yang salah.
Pada 24 September 2019, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika memberi keterangan memberitahu Najib mengarahkannya untuk meneruskan proses pengeluaran bon IMTN tersebut walaupun Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin murka dengan pelaksanaannya.
Katanya, beliau menerima ia sebagai arahan dan mandat daripada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan kerana Najib menteri yang bertanggungjawab memberikan Jaminan Kerajaan itu.
Diasak oleh peguam bela itu mengenai tugas BNM dalam memastikan setiap transaksi tidak diselewengkan, Zeti menyatakan ia bukan tanggungjawab bank pusat untuk berbuat demikian.
“BNM bukan pihak yang melaksanakan penilaian wajar (due diligence), bank komersial yang mengendalikan (transaksi) yang perlu melakukannya. Bank pusat tidak bertanggungjawab untuk melakukan penilaian wajar,” jelasnya. – UTUSAN










