BN, PH Johor bincang PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

BN, PH Johor bincang PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

MOHAMED Khaled Nordin bersama Aminolhuda Hassan (kiri) dan Suhaizan Kaiat ketika menghadiri Mesyuarat Khas UMNO Johor dan Parti Amanah Johor menjelang PRK di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, Johor Bahru hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Johor mengadakan pertemuan di Bangunan UMNO Johor bagi membincangkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, hari ini.

Pertemuan yang diadakan secara tertutup itu difahamkan bagi membincangkan mengenai cadangan calon yang akan diletakkan selain gerak kerja jentera membabitkan kedua-dua parti.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang tiba lebih awal dilihat menyambut kedatangan Timbalan Pengerusi PH Johor, Amilnolhuda Hassan merangkap Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang tiba sekitar 3 petang tadi.

Turut hadir Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat dan Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Mesyuarat tertutup itu bermula kira-kira pukul 3.15 petang selepas kesemua pemimpin utama bergerak ke bilik mesyuarat di bangunan itu.

Difahamkan, ini adalah pertama kali Aminolhuda dan Suhaizan hadir ke Bangunan UMNO Johor itu sejak kerjasama politik dijalinkan antara BN dan PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Minggu lalu, Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading dilaporkan berkata, Amanah Johor sedang giat melakukan persiapan rapi termasuk akan bertemu dengan Mohamed Khaled yang juga Pengerusi UMNO Johor, bagi menggerakkan jentera PH-BN berhadapan PRK itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×