PUTRAJAYA: Calon yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) dinasihat tidak mendedahkan diri mereka bersama komuniti jika disahkan mengalami jangkitan influenza.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, calon terutamanya perlulah berhenti seketika daripada berkempen bagi mengelak jangkitan kepada orang lain.
“Kita faham influenza adalah penyakit berjangkit. Sekiranya ada gejala, cepat-cepat jumpa doktor dan lakukan kawalan kendiri seperti memakai pelitup muka terutama ketika berada dalam khalayak ramai.
“Kita galakkan mereka yang mempunyai gejala supaya melakukan ujian dan saringan kesihatan malah, jika perlu berhenti seketika daripada berkempen,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi perjumpaan dengan Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja (MAPSU) Kementerian Kesihatan, semalam.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PHBN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau disahkan dijangkiti influenza dan dinasihatkan untuk berehat daripada berkempen selama tiga hari.
Menerusi rakaman video di laman sosial Instagramnya, Mohamad yang lebih mesra dipanggil Tok Mat berkata, doktor menasihatkannya untuk tidak keluar dalam tempoh berkenaan kerana dikhuatiri menjangkiti orang lain.
Sebelum ini, hospital-hospital swasta dilaporkan sesak susulan peningkatan jumlah pesakit influenza yang datang untuk mendapatkan rawatan.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh dilaporkan berkata, masalah dihadapi hospital ialah apabila tempoh menunggu mendapatkan katil menjadi lebih lama ekoran berlakunya pertambahan pesakit sedangkan jumlah jururawat tidak mencukupi. – UTUSAN










