Bekas polis wanita masih teringat pahit manis zaman darurat

Bekas polis wanita masih teringat pahit manis zaman darurat

CHE Lat Junus menunjukkan pingat-pingat yang diterimanya ketika bertugas sebagai anggota polis ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Tiga Keladi, Kulim, Kedah. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Bertugas sebagai anggota keselamatan ketika zaman darurat meninggalkan kenangan bermakna buat bekas anggota polis wanita, Che Lat Junus, 85, yang turut pernah berkhidmat sebagai Konstabel Khas Wanita (WSC) pada 1958.

Selama 13 tahun berkhidmat sebagai WSC sehingga 1970 sebelum diserap menjadi anggota polis setahun kemudian, banyak peristiwa pahit manis ditempuh Che Lat yang masih segar dalam ingatannya.

Bekas Pengerusi Persatuan Bekas Polis Cawangan Kulim itu berkata, tidak ramai wanita ingin berkhidmat sebagai anggota polis pada zaman darurat kerana masih rasa takut berikutan kekejaman komunis ketika itu.

“Ketika mula menjadi WSC usia saya baru 19 tahun dan ketika itu tidak ramai golongan wanita yang menyertai pasukan keselamatan. Namun bagi saya walaupun takut, perasaan itu dibiarkan malah ketika menyarung seragam saya rasa semakin bersemangat.

“Pada zaman darurat dahulu hanya beberapa anggota WSC bertugas di Balai Polis Kulim yang kini menjadi Balai Polis Trafik Daerah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Che Lat, setiap hari dia ditugaskan bersama beberapa anggota polis lelaki serta anggota pasukan keselamatan (Home Guard) dan Konstabel Khas (SC) menjalankan pemeriksaan serta rondaan di kawasan ladang getah.

Katanya, ketika bertugas di Pos Kampung Bagan Sena bermula pukul 6 pagi sehingga 10 malam, mereka meronda sekitar ladang getah tersebut bagi menjaga keselamatan pekerja estet.

Jelasnya, tugas ketika itu hanyalah menjalankan pemeriksaan terhadap wanita yang keluar masuk ke dalam kawasan ladang berkenaan seperti memeriksa bekas makanan dan sebagainya.

“Macam-macam rasa ketika itu, berani ada takut pun ada, maklumlah ketika itu baru setahun kita merdeka dan komunis masih mengganas. Jadi, kami ronda sambil berjalan kaki setiap hari dan saya berada di tengah sementara anggota lelaki di kiri dan kanan,” katanya.

Katanya, selepas menjadi anggota polis tetap pada tahun 1971, dia ditugaskan di Balai Polis Kulim dan masih melakukan tugas rondaan di sekitar pekan Kulim bagi menjaga keselamatan orang ramai serta anasir komunis yang masih ada.

Pada tahun 1981, dia ditugaskan pula sebagai pemandu kereta peronda polis (MPV) yang ketika itu dia menjadi anggota polis wanita pertama memandu kenderaan berkenaan sambil menjalankan rondaan bersama anggota wanita lain di daerah ini.

“Banyak kenangan manis yang tidak dapat dilupakan antaranya pakaian seragam berwarna biru ketika itu dan memandu kereta jenis Alfa Romeo. Tetapi kini ramai rakan-rakan saya sudah tiada,” katanya.

Che Lat berkata, pangkat terakhirnya sebelum berpencen adalah koperal dan dia turut menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) daripada Yang di- Pertuan Agong pada 2010 dan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) tahun 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×