KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 sering menyaksikan silih ganti parti yang menang di kawasan itu, ia sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun PKR.
Oleh sebab faktor sokongan pengundi yang berubah-ubah, Ampangan boleh dikatakan antara kerusi yang perlu diberikan tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.
Tiada parti yang boleh mengatakan Ampangan merupakan kubu kuat mereka dan sejak beberapa siri pilihan raya umum yang lalu, pengundi di kawasan itu dilihat lebih memilih faktor calon yang ditampilkan berbanding parti yang bertanding.
Kerusi berkenaan juga sejak beberapa pilihan raya lalu menyaksikan wakil rakyatnya menang hanyalah dengan majoriti tipis.
Melihat kepada senarai calon yang bertanding kali ini ditambah pula buat pertama kalinya ketiadaan calon daripada BN, dijangkakan kejutan boleh berlaku di kerusi Ampangan.
DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru termasuk dua calon daripada parti utama yang bertanding.
Mereka ialah calon Pakatan Harapan (PH) yang merupakan Ketua Wanita PKR Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Ghazali Zainal Abidin.
Seorang lagi calon pula ialah penyandang kerusi tersebut yang memilih bertanding atas tiket Bebas, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan itu tidak dicalonkan semula oleh PKR untuk bertanding bagi mempertahan Ampangan.
Melihat kepada sentimen penduduk di Ampangan ketika ini, terdapat dalam kalangan mereka yang menyatakan akan memilih Mohamad Rafie berbanding dua calon lain.
Antara faktornya adalah khidmat Mohamad Rafie selama lima tahun sebagai wakil rakyat di kawasan itu yang disifatkan memuaskan hati selain dua orang lagi calon tersebut yang kurang dikenali penduduk.
Faktor-faktor itu memang sukar disangkal malah pencalonan Tengku Zamrah di Ampangan juga dikatakan tidak diterima dalam kalangan ahli akar umbi partinya sendiri.
Ampangan merupakan salah satu daripada enam buah kerusi ditandingi calon PKR di negeri ini.
Mohamad Rafie menang di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan majoriti 1,360 undi.
Terdapat seramai 20,992 pengundi berdaftar akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada PRN ke-15 di DUN Ampangan. – UTUSAN










