GOPENG: Seorang bapa bimbang memikirkan nasib anak lelakinya yang terpaksa meringkuk di dalam depot tahanan imigresen kerana didakwa tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
R. Rama Chandran, 54, berkata, anaknya, Tayalan atau nama Islamnya, Mohd. Farid, 26, ditahan dalam satu operasi di Ipoh pada tahun 2019.
Katanya, penahanan lelaki itu hanya diketahui selepas dimaklumkan oleh bapa angkat anaknya yang dihubungi oleh pusat tahanan berkenaan.
“Anak saya adalah warganegara Malaysia namun menghadapi kekangan membuat kad pengenalan ekoran sijil kelahirannya tidak lengkap.
“Di dalam sijil kelahiran itu, tiada nombor kad pengenalan ibu Tayalan, keadaan ini menyukarkan anak saya untuk membuat dokumen pengenalan dirinya,” katanya dalam sidang akhbar di Pondok Al Jaafar di Gua Tempurung, di sini hari ini.
Menurut Rama Chandran, dia berusaha membuktikan taraf kewarganegaraan anaknya itu termasuk meminta bekas isteri mengemaskini maklumat peribadi dalam sijil kelahiran anak mereka.
Katanya, proses angkat sumpah juga telah dilakukan bekas isterinya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya pada Jun lalu di mana dokumen asal sijil kelahiran itu akan diperoleh pada bulan hadapan.
“Pihak JPN ada beri salinan sijil kelahiran Tayalan untuk proses seterusnya oleh Jabatan Imigresen namun pihak berkenaan menolak dokumen tersebut kerana mahukan sijil kelahiran asli.
“Buat masa sekarang, kami hanya menunggu JPN untuk mengeluarkan sijil kelahiran baharu dan berharap usaha dilakukan ini dapat membantu Tayalan bebas.
“Setakat ini kami tidak dimaklumkan dia lakukan kesalahan lain, hanya kerana tidak memiliki kad pengenalan sahaja,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pondok Al Jaafar, Mohamad Tarudi Bahari berkata, Mohd. Farid yang memeluk Islam sejak berusia 12 tahun itu datang ke Pondok Al Jaafar ketika berusia 17 tahun untuk menimba ilmu dan mempelajari kemahiran di bengkel.
“Waktu tangkapan itu, dia dikatakan sedang tolong baiki kereta di sebuah bengkel rakannya di Klebang, disebabkan tiada kad pengenalan, dia terus ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen,” katanya. – UTUSAN










