Atasi isu murid kurang minat sains, matematik: PM

Atasi isu murid kurang minat sains, matematik: PM

Anwar Ibrahim melakukan gimik semasa merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 di ibu negara, semalam. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri meminta Kementerian Pendidikan menggunakan pendekatan baharu bagi mengatasi penurunan minat anak-anak dalam bidang sains dan matematik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting selepas kajian Kementerian Pendidikan mendapati minat anak-anak sekolah dalam ke­dua-dua bidang tersebut mulai menurun.

Sehubungan itu, kata beliau, pihak kementerian perlu mendapatkan pemikiran, pandangan dan minat murid dalam pelbagai bidang ketika ini.

“Terjun ke bawah, ke sekolah, politeknik, vokasional untuk menambah minat anak bukan sahaja dari segi penceritaan, teori tetapi dengan penekanan kepada keutamaan bidang sains, matematik dan teknologi.

“Saya harap ini dapat dilaksanakan walaupun hanya permulaan tapi saya selalu tekankan kalau dengan kaedah mesyuarat dan penjelasan seperti biasa kita akan ketinggalan zaman,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 di sini, hari ini.

Menurut Anwar, dalam usaha kerajaan mencatat pertumbuhan seperti pelaburan baharu, ia harus diiringi dengan pendidikan.

“Dalam mesyuarat Majlis Sains Negara, saya putuskan supaya kementerian menyelaras dengan semua pusat pendidikan kerajaan, swasta dan universiti bagi memanfaatkan kekuatan mereka, tidak bergerak secara silo, cuba memberi ruang supaya boleh mendatangkan minat pendidikan sains dan teknologi yang terbaik yang boleh kita berikan.

“Kementerian tugasnya besar iaitu menyelaras dan menghubung institusi sains bukan sahaja diasaskan kerajaan tetapi juga mengenal pasti beberapa institusi lain dan syarikat swasta, terutama universiti,” katanya.

Sementara itu, Anwar memberitahu, Malaysia akan mengemukakan cadangan baharu berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Perdana Menteri berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Singapura selepas dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Itu belum, baru di peringkat kita (perbincangan peringkat kementerian). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN