Anwar puas hati prestasi agensi kerajaan, tiada ketirisan - Utusan Malaysia

Anwar puas hati prestasi agensi kerajaan, tiada ketirisan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan prestasi agensi kerajaan sejak mengetuai Kerajaan Pusat selama lapan bulan ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau bangga kerana tiada apa-apa kecurangan, ketirisan atau kerosakan terutamanya dalam skala besar sepanjang tempoh itu.

“Saya sudah lapan bulan mengetuai kerajaan, saya bangga kerana saya meneropong dan menelusuri setiap agensi dipantau, diteliti kalau ada apa-apa kecurangan, ketirisan (atau) kerosakan (terutamanya) skala besar.

“Saya syukur Alhamdulillah kerana setakat ini AmanahRaya dianggap prestasi baik.

“Saya harap semangat ini dikekalkan , ia tidak (hanya) terletak pada pimpianan, tetapi seluruh keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sambutan ulang tahun Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) yang ke-100.

Perdana Menteri kemudian melancarkan logo khas 100 tahun AmanahRaya.

AmanahRaya merupakan syarikat milik penuh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 1921.

ANWAR Ibrahim melancarkan logo khas 100 tahun AmanahRaya. – UTUSAN/AMIR KHALID

Syarikat itu terlibat sebagai peneraju industri Perancangan Pusaka dan Pengurusan Harta di Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, AmanahRaya perlu sedar mengenai tanggungjawab yang dipikul badan itu.

Katanya, ini kerana memegang amanah merupakan satu tanggungjawab yang besar.

Katanya, al-Quran juga menyatakan amanah itu kalau tidak disempurnakan di tahap baik, maka itu bererti khianat dan mendustakan agama.

“Mengabaikan atau mengkhinati amanah anak yatim dan orang miskin itu al-quran menyebut orang mendustakan.

“Sebab itu sementara saya beri pujian mengawal jumlah berbilion ringgit, tetapi kalau lihat dari konteks ini, maka kita harus terpanggil dan tersentuh perasaan.

“Ia bahawa kita tingkatkan lebih baik termasuk meningkatkan tahap pengurusan, terima idea baru dan transformasi digital yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata, negara ini tentunya memerlukan anjakan dengan mana-mana negara harus bersedia melakukan anjakan sekiranya mahu diangkat martabat.

Jelas beliau, istilah anjakan atau anjakan paradigma itu berdasarkan teori awal pemikir yang menggagaskan perubahan harus berlaku di mana satu zaman era harus berakhir dan harus bermula babak baru.

“(Namun) kadangkala kita guna anjakan, tetapi tidak penuhi maksud awal. Anjakan itu menerima kenyataan bahawa dunia luar menuntut beberapa tindakan baru, meneruskan ciri positif, tetapi meninggalkan aspek buruk atau lama.

“Dalam konteks rahmat Islam bahawa perubahan itu dituntut, tetapi perubahan sebenar mesti tercetus dari hati nurani yang bersih.

“Cita-cita idealisme membawa perubahan bukan kerana tanggungjawab profesion atau pengiktirafan untuk negara dan rakyat, tapi cetusan hati nurani.

“Sebab itu bila ungkapkan Madani ia berbeza, ia mesti terkait soal nilai akhlak. Jadi ia harus terterap peraturan, tetapi dengan cetusan yang ingin perubahan kebaikan dan merasa resah benci menolak keburukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN