Anggota awam sedia beri kerjasama prosiding PAC - KSN

Anggota awam sedia beri kerjasama prosiding PAC – KSN

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiap anggota perkhidmatan awam yang dipanggil menghadiri mana-mana prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sentiasa bersedia memberikan kerjasama bagi maksud memberi keterangan, penjelasan atau apa-apa maklumat diperlukan bagi sesi jawatankuasa itu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, perkara itu selaras dengan Peraturan 77(5) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, yang mana PAC sememangnya mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana individu untuk hadir di hadapannya.

Menurut beliau, ini termasuk meminta individu itu untuk mengemukakan apa-apa surat, rekod atau penyata kepada PAC dari semasa ke semasa.

“Kegagalan mana-mana individu termasuklah mana-mana pegawai kerajaan sedang berkhidmat atau telah bersara mematuhi perintah PAC tersebut suatu kesalahan di bawah seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347] kerana menghina Majlis Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi PAC supaya suatu mekanisme diwujudkan kerajaan agar semua pegawai kerajaan dan bekas pegawai kerajaan termasuklah Pegawai Pengawal dan Ketua Setiausaha Kementerian mematuhi arahan PAC menghadiri mana-mana prosiding PAC bagi memberi keterangan.

Mohd. Zuki berkata, dalam memberikan keterangan di prosiding PAC, mana-mana individu termasuklah mana-mana pegawai kerajaan yang sedang berkhidmat atau telah bersara adalah tertakluk kepada undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Ini termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88], Akta Keterangan 1950 [Akta 56] dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709], serta tidak melibatkan perkara-perkara yang sedang dalam prosiding mahkamah.

Jelas beliau, bagi pegawai kerajaan yang sedang berkhidmat, suatu garis panduan bertajuk ‘Memberi Keterangan Kepada Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat: Garis Panduan Untuk Pegawai Awam’ diluluskan Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu.

Ia bertujuan memberi penjelasan dan panduan dalam memberi keterangan di hadapan mana-mana jawatankuasa pilihan dalam Dewan Rakyat termasuklah PAC. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya