PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengunjungi Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengadakan perbincangan dan bertukar pandangan dalam satu pertemuan berlangsung di kediaman bekas Perdana Menteri itu.
Menurut satu hantaran Facebook Ahli Parlimen Marang itu, pertemuan turut disertai Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman; Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya dan Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
“Kunjungan di kediaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, bertanya khabar, berbincang, dan bertukar pandangan,” tulis Abdul Hadi hari ini.
Bagaimanapun pertemuan itu tidak menjelaskan butiran perbincangan antara kedua-dua pihak.
Pertemuan kedua pemimpin itu bukan pertama kali berlangsung, malah Dr. Mahathir pernah dikunjungi Abdul Hadi pada Mei lalu apabila Presiden itu memberi sokongan kepada ‘Proklamasi Orang Melayu’.
Program Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu didakwa bukan agenda mana-mana parti politik, sebaliknya hanya untuk menyatukan orang Melayu yang semakin berpecah pada masa ini.
Selain Abdul Hadi, Dr. Mahathir pernah menerima kunjungan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN