91 klinik daif selesai dibaik pulih

91 klinik daif selesai dibaik pulih

ZALIHA Mustafa ketika melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Healthcare Facility Management Conference and Exhibition 2023 di Putrajaya.. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 91 buah klinik kesihatan daif dan usang di seluruh negara selesai dibaik pulih, manakala baki 341 klinik masih dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf fasiliti kesihatan itu dijalankan secara berfasa membabitkan keseluruhan 1,200 klinik daif yang dikenal pasti.

“Kita terima senarai (klinik-klinik daif) ini daripada Pengarah Kesihatan Negeri dengan jumlah keseluruhan adalah 1,200 klinik, tapi kita lakukan penambaikan secara berfasa.

“Pada tahun ini kita sasar 436 klinik dan tahun depan kira-kira 300 klinik lagi dengan membabitkan kos RM110 juta,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Healthcare Facility Management Conference and Exhibition 2023 di sini hari ini.

Tambah Zaliha, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima senarai klinik daif terbanyak di Terengganu membabitkan 58 klinik, diikuti Negeri Sembilan sebanyak 44 klinik dan masing-masing 42 klinik di Perak dan Pahang.

Pada 3 Julai lalu, Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) memberi tumpuan kepada dua projek baharu iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah KKM dan memperluas pelaksanaan Gerai Madani.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai situasi bekalan ubat ekoran status kedudukan Nota Amalan 17 (PN17) Pharmaniaga Bhd, Zaliha memaklumkan bahawa KKM mempunyai beberapa cara untuk menangani keadaan tersebut termasuk berurusan terus dengan syarikat-syarikat terlibat.

“Pembekalan ubat sebenarnya tidak terjejas, Pharmaniaga hanya lah terlibat dari sudut pengedaran atau pun logistik jadi kita ada beberapa cara juga untuk perkhidmatan farmaseutikal ini.

“Ini termasuk berurusan terus dengan syarikat-syarikat terlibat, jadi ia tidak memberi kesan terhadap pembelian atau pembekalan ubat,” ujarnya.

Sebelum ini, Bursa Malaysia Securities Berhad mengumumkan Pharmaniaga Berhad mencetuskan kriteria menurut Perenggan 2.1(a) Nota Amalan No. 17 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.

Dalam perkembangan berlainan, Zaliha sekali lagi menegaskan, pemindahan untuk penempatan dalam kalangan kakitangan perubatan, tidak menjejaskan perkhidmatan di fasiliti-fasiliti KKM.

“Kita telah selesai melakukan pemindahan petugas kesihatan khususnya di Sabah dan Sarawak untuk memenuhi keperluan petugas kesihatan di fasiliti KKM, jadi kekosongan yang berlaku (di fasiliti) di Semenanjung akan segera dipenuhi untuk memastikan perkhidmatan kesihatan kita tidak terjejas,” katanya.

Pada 20 Julai lalu, sebuah portal kesihatan mendakwa bahawa kira-kira 1,000 pegawai perubatan yang berpangkalan di hospital di Kuala Lumpur dan Selangor akan dipindahkan ke Sabah dan Sarawak dan situasi tersebut dijangka memberi kesan kepada hospital awam utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya