PADAWAN: Sebanyak 224 daripada 619 pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menolak tawaran lantikan jawatan tetap ke Sarawak.
Seramai 50 pegawai perubatan KKM pula rela berstatus ‘kontrak’ kerana enggan melapor diri selepas ditawarkan lantikan tetap untuk berkhidmat di Bumi Kenyalang itu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ada beberapa pegawai perubatan yang menerima tawaran, bagaimanapun telah memohon untuk melanjutkan pengajian.
“Kita telah menerima 619 pegawai perubatan yang ditawarkan ke jawatan tetap di Sarawak, dan juga yang telah lapor diri adalah sebanyak 395 orang. Tetapi pada masa yang sama, terdapat 55 pegawai doktor yang telah melapor diri namun memohon untuk melanjutkan pelajaran.
“Selain itu, seramai 49 pegawai yang masih membuat penangguhan, ini kita sedang tunggu kerana mereka terima tawaran tetapi hanya menangguhkan kedatangan ke Sarawak.
“Manakala, 50 orang menolak maksudnya tidak menerima penempatan dan menolak tawaran untuk mendapat jawatan tetap di negeri Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar semasa lawatan kerjanya ke fasiliti kesihatan di Klinik Siburan di sini, semalam.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengemas kini status jumlah lantikan doktor tetap yang melapor diri ke Sarawak baru-baru ini.
Ujar Lukanisman, daripada jumlah tawaran berkenaan iaitu 70 orang masih lagi belum memberi maklumat jawapan sama ada menerima atau menolak lantikan tersebut.
“Perkara ini telah dipantau dengan teliti oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan kita cukup yakin setelah semua pegawai perubatan ini melapor diri ke fasiliti kesihatan sama ada klinik ataupun hospital di Sarawak, kita akan mendapat maklumat yang lengkap.
“Malah, kita turut akui beberapa faktor kedatangan pegawai perubatan ini mungkin menimbulkan sedikit masalah adalah kerana kita akui bahawa fasiliti penempatan, maksudnya kita mempunyai klinik ataupun hospital di luar bandar yang baik, tetapi kita berdepan masalah kekurangan tempat tinggal,” jelasnya.
Justeru itu, beliau menggesa agar pegawai-pegawai yang diberikan penempatan agar lapor diri ke fasiliti kesihatan yang telah ditetapkan terlebih dahulu, dan memohon untuk ditempatkan ke fasiliti yang lebih dekat, sekiranya keadaan memerlukan.
“Kita mempunyai cara kita sendiri untuk menyelesaikan masalah ini, sebab itu saya menyeru agar mereka ini datang dulu untuk lapor diri dan merayu kemudian, kerana sistem perkhidmatan di negeri Sarawak ini bukan hanya wujud minggu lepas, kita dah berpuluh tahun berdepan situasi sistem kesihatan.
“Apa yang penting sekarang ini adalah, kita telah menghantar mesej yang cukup jelas, minggu lepas ada wujudnya isu berkenaan tentang penolakan, tetapi kita bersyukur hanya 50 menolak ketika ini, tetapi yang lainnya menerima untuk datang ke Sarawak,” dedahnya.
Beliau turut akui perkara sama dihadapi di Semenanjung, seperti Terengganu dan Melaka meskipun mempunyai fasiliti yang cukup di bandar mahupun luar bandar berkenaan. – UTUSAN










