17 PATI, dua tekong darat diberkas - Utusan Malaysia

17 PATI, dua tekong darat diberkas

AHMAD Mohsin Md. Rodi (dua dari kanan) menunjukkan gambar tekong yang diberkas polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini hari ini. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seramai 17 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong darat berjaya diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di Felda Chuping, Mata Ayer di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 8.30 pagi itu, gabungan anggota PGA Batalion 2 dan Platun Harimau sedang menjalankan operasi jejak aktiviti penyeludupan dan serang hendap di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, gabungan pasukan itu berjaya mengesan jejak pejalan kaki melalui kawasan semak samun dari pagar sempadan dan mengekori kesan tersebut sehingga lima kilometer.

“Sebaik sahaja memasuki kawasan Felda Chuping, Mata Ayer, pasukan itu ternampak sekumpulan individu sedang berjalan kaki dalam kebun getah dalam keadaan mencurigakan dan menghampiri mereka.

“Pemeriksaan menemui seramai 14 lelaki dan tiga perempuan dipercayai PATI warga negara Myanmar dan kesemua mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini hari ini.

Tambah Ahmad Mohsin, kira-kira 20 minit kemudian, sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu menghampiri lokasi tangkapan dan terus memecut apabila diminta turun untuk pemeriksaan oleh anggota PGA.

Katanya, anggota PGA terus mengejar kereta suspek kira-kira 300 meter hingga ke jalan denai sebelum kenderaan itu tersangkut di jalan mati.

“Seorang lelaki tempatan dan wanita warga Thailand tanpa dokumen perjalanan sah yang dipercayai tekong darat terpaksa menyerah diri kepada pihak berkuasa setelah tidak mampu melarikan.

“Kesemua 14 PATI lelaki berusia lingkungan umur 16 hingga 27 tahun manakala tiga PATI perempuan berusia lingkungan 28 hingga 42 tahun ditahan.

“Semakan terhadap lelaki tempatan berusia 32 tahun mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan ketum. Dia dan wanita Thailand berusia 30 tahun itu juga positif dadah jenis Methamphetamine,” ujarnya.

Menurut Ahmad Mohsin lagi, siasatan awal mendapati kesemua PATI itu merentasi perjalanan dari Myanmar ke sempadan Malaysia-Thailand menaiki bas selama empat hari sebelum ditahan di negara ini.

Katanya, kesemua mereka ditawarkan peluang untuk mencari pekerjaan di Malaysia dan perlu membayar wang RM10,000 kepada ejen jika berjaya mendapatkan pekerjaan di sini.

“Polis juga percaya suspek wanita Thailand ialah tekong darat selepas pemeriksaan dalam telefon bimbit mendapati terdapat beberapa foto PATI yang ditahan manakala suspek tekong lelaki pula dipercayai terlibat menguruskan kemasukan PATI ke negara ini.

“Dalam serbuan ini, polis merampas 16 buah telefon bimbit, wang tunai RM550, wang Thailand 12,540 Baht, wang Myanmar 18,650 Kyat, sebuah beg jenama Gucci, seutas gelang tangan, rantai leher serta cincin emas dan sebuah kereta dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM45,000,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Kesemua suspek direman bermula hari ini sehingga 28 Ogos ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya