KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 1,651 laporan dalam Op Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sejak 27 Julai lalu hingga semalam.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, daripada jumlah itu, 668 daripadanya adalah dari Selangor; Terengganu (314); Kedah (258); Kelantan (236), Negeri Sembilan (116) dan Pulau Pinang (39).
“Setakat ini tangkapan membabitkan tujuh orang manakala sejumlah 4,300 ceramah diadakan dengan permit dan sebanyak 115 kertas siasatan dibuka.
“Berdasarkan statistik harian semalam, sebanyak 127 laporan diterima manakala 440 permit dikeluarkan di kesemua negeri terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, antara siasatan yang dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 membabitkan seorang calon Pakatan Harapan di Pulau Pinang yang didakwa dikaitkan dengan sindiket dadah serta pengubahan wang haram.
“Pengadu menerima gambar kiriman WhatsApp daripada rakannya yang mengandungi nama, kad pengenalan dia dan adiknya.
“Gambar itu juga menyenaraikan syarikat didakwa miliknya namun dia menafikan kandungan terbabit. Justeru, laporan dibuat bagi menyiasat individu yang menyebarkan fitnah itu. Malah, dia juga telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tiga tahun lalu namun tiada tindakan diambil,” ujarnya.
Jelasnya, satu lagi siasatan membabitkan Seksyen 500 KK, Seksyen 233 AKMM dan Seksyen 504 KK.
“Pengadu terlihat satu ucapan dari Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu ceramah politik, kelmarin di Alor Setar Kedah.
“Dalam ucapannya, beliau didakwa mengeluarkan kata-kata kesat. Pengadu merasakan kenyataan itu satu fitnah dan boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman awam serta tidak sepatutnya digunakan oleh seorang pemimpin. – UTUSAN










