MELAKA: Nasib 120 pekerja warga Bangladesh hidup daif di sebuah gudang yang telah diubah suai di Bukit Rambai di sini terbongkar dalam operasi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, semalam.
Pengarah JTK negeri, Johana Bakar berkata, selain tinggal di bilik sempit, ruang mandi kotor dan berlumut, sistem pendawaian elektrik tidak teratur juga boleh membahayakan nyawa mereka.
Menurutnya, kontena yang dijadikan bilik pula tidak selamat di bahagian atas kerana laluannya menggunakan papan lapis.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, majikan sama pernah dikompaun sebanyak RM20,000 pada 2020 atas kesalahan mengabaikan kebajikan dan keperluan asas pekerja dengan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 466).
“Keadaan pekerja sebuah kilang perabot di sini amat daif bilik yang sempit, ruang mandi pula berlumut, majikan kata ada pasukan mencuci tetapi sebenarnya tidak ada, selain pendawaian elektrik berselirat dengan keadaan kipas berselerak.
“Susulan daripada ini kita mengambil tindakan dengan mengeluarkan empat kompaun keseluruhan berjumlah RM65,000 di bawah Akta 446.
“Selain itu, JTK akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan sebahagian 120 pekerja yang duduk di gudang ini berpindah ke penginapan pekerja berpusat (CLQ) berdekatan,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi.
Tambah Johana, pemeriksaan juga mendapati, majikan terlibat melanggar syarat permit sepatutnya iaitu penginapan buat 80 pekerja dan bukannya untuk 120 orang.
Katanya, penginapan yang dibuat tidak mengikut spesifikasi asal diluluskan PBT sejak tiga tahun lalu.
“Antara kesalahan utama dilakukan majikan itu ialah di bawah Seksyen 24D tiada perakuan penginapan dan Seksyen 24K tiada penyelenggaraan tandas, dapur, ruang mandi serta persekitaran,” jelasnya. – UTUSAN










