PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima Anugerah Yayasan Tahunan bagi kategori perbankan di Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023, semalam.
Pengiktirafan itu diterima di atas inisiatif yang dijalankan oleh YBR dalam meningkat sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pendidikan serta program-program kemasyarakatan yang dijalankan sepanjang tahun lepas bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, anugerah itu adalah satu pencapaian dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun lalu dan diharap menjadi pembakar semangat kepada YBR untuk terus kekal membantu masyarakat Malaysia yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.
Menurut beliau, YBR sudah membelanjakan sebanyak RM28.02 juta sebagai peruntukan bantuan pendidikan dan masyarakat bagu sepanjang tahun 2022.
“Pengiktirafan ini merupakan kejayaan buat YBR kerana telah terpilih dan bersaing dengan yayasan-yayasan yang lain.
“Kami akan melipat gandakan usaha serta strategi dalam membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Syaiful Rizal menambah, penghormatan yang diberikan itu juga membuktikan impak positif di atas penglibatan dan komitmen berterusan YBR dalam menyantuni mereka yang memerlukan serta menyuntik semangat untuk terus mengekalkan momentum sedia ada.
“YBR ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang menjadi sebahagian daripada kejayaan ini,” katanya. –UTUSAN