SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat pertama kali berjaya tersenarai di kedudukan 1,201 sehingga 1,400 dalam QS World University Rankings 2024.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, penarafan QS World University Rankings itu membuktikan keberadaan USIM yang mengangkat dan memartabat institusi ilmu naqli dan aqli untuk berada dalam kedudukan universiti terbaik dunia.
“Ia mengangkat dan memartabatkan institusi ilmu naqli dan aqli dalam konteks membangunkan keilmuan, kesarjanaan dan kemahiran dalam bidang halal, kewangan dan perbankan Islam serta dakwah orang kurang upaya (OKU) setanding dengan universiti terkemuka lain di pentas antarabangsa.
“Pencapaian sulung yang membanggakan ini tentunya atas semangat berpasukan dan kerjasama sesama warga kepada pemegang taruh bagi mencapai aspirasi dan hala tuju universiti dan memperkasa keterlihatan USIM dalam menyasarkan universiti ini sebagai universiti rujukan global pada 2025,” katanya.
Tahun ini QS World University Rankings mengukur prestasi 2,963 institusi pendidikan berdasarkan lima indikator utama.
Ia melibatkan penemuan penyelidikan; hasil dan kebolehpasaran; pengalaman pembelajaran; jaringan global; jaringan penyelidikan antarabangsa dan pelajar antarabangsa serta kemampanan penarafan QS. – UTUSAN