UMNO Hulu Terengganu nafi markas BN tutup - Utusan Malaysia

UMNO Hulu Terengganu nafi markas BN tutup

SEBAHAGIAN penyokong BN yang hadir pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Hulu Terengganu di Kuala Berang, Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA TERENGGANU: UMNO Bahagian Hulu Terengganu menafikan dakwaan yang tular kononnya beberapa markas Barisan Nasional (BN) ditutup selepas nama calon parti itu yang akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil diumumkan pada Jumaat lalu.

Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Sabri Razak berkata, dakwaan   Pusat Daerah Mengundi (PDM) ditutup kerana akar umbi tidak berpuas hati dengan calon tersebut juga tidak benar.

Menurutnya, desas-desus berlaku bantahan daripada penyokong UMNO DUN Ajil di pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu petang semalam juga tidak benar. 

“Saya yang juga selaku Ketua Penerangan DUN Ajil  hadir pada pertemuan bersama Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said di pejabat tersebut, semalam. 

“Dalam pertemuan itu, kami berbincang mengenai strategi yang sesuai untuk memenangkan calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti. 

“Justeru, saya mewakili ketua-ketua cawangan DUN Ajil menafikan dakwaan berlakunya isu penutupan markas-markas sebagai tanda protes terhadap calon  seperti ditularkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini. 

Semalam, media melaporkan berlakunya bantahan daripada penyokong UMNO yang tidak berpuas hati dengan pemilihan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM), Datuk Seri Jailani Johari sebagai calon BN di DUN Ajil.

Tindakan itu didakwa dizahirkan dengan penutupan awal markas dan PDM DUN tersebut sebagai tanda protes terhadap keputusan pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun, Sabri memberitahu, dakwaan itu tidak benar sebaliknya penyokong dan ahli UMNO DUN Ajil akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti yang telah mengambil kira pelbagai kriteria ‘winnable candidate’ yang ditetapkan sebelum memilih calon yang sesuai. 

“Tak kiralah siapa pun calon di DUN Ajil, hasrat kami hanyalah satu iaitu mahu memenangkan calon yang telah dipilih.

“Rakan-rakan seperjuangan UMNO dan BN serta barisan kepimpinan juga diseru untuk sama-sama rapatkan saf perjuangan dalam memastikan kemenangan UMNO. 

“Satu perjumpaan khas bersama ketua-ketua cawangan, tiga sayap parti dan calon juga telah diadakan untuk menyatakan sokongan,” katanya. 

Pada Jumaat lalu, nama Jailani diumumkan sebagai calon di DUN Ajil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya