Banjir: Enam sekolah di Terengganu ditutup - Utusan Malaysia

Banjir: Enam sekolah di Terengganu ditutup

SEKUMPULAN pelajar meredah banjir di SMK Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Sebanyak enam sekolah di tiga daerah terpaksa ditutup dan diberi cuti bencana hari ini setelah dinaiki air akibat hujan lebat berterusan

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, daripada jumlah itu, tiga sekolah terletak di daerah Dungun, dua di daerah Hulu Terengganu dan satu di Setiu.

Menurutnya, tiga sekolah terjejas di Dungun ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kuala Jengal dan SK Kampung Shukor.

“Di Hulu Terengganu pula, sekolah terlibat ialah SK Bukit Tadok dan SK Kua manakala di Setiu, sekolah yang ditutup ialah SK Kampung Buloh.

“Kesemua enam sekolah ini tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana banjir yang melanda menyebabkan kawasan sekolah ditenggelami air dan ada laluan ke sekolah yang turut dinaiki air,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat tiga sekolah di Setiu yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk penempatan mangsa banjir dalam gelombang keempat kali ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua tiga sekolah itu tetap beroperasi seperti biasa hari ini kerana mangsa banjir ditempatkan di bangunan yang berlainan dan tidak mengganggu sesi pembelajaran di sekolah.

“Tiga sekolah yang dijadikan PPS di daerah Setiu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkap, SK Seri Kasar dan SK Kampung Bukit.

“Semalam, mangsa banjir di dua sekolah yang dijadikan PPS telah pun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Oleh itu hari ini dua sekolah itu iaitu SK Kuala Abang di Dungun dan SK Padang Mengkuang di Marang kembali beroperasi seperti biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya