Umat Islam tonton konsert kumpulan The 1975 perlu taubat - Utusan Malaysia

Umat Islam tonton konsert kumpulan The 1975 perlu taubat

FESTIVAL muzik di Kuala Lumpur, Sabtu lalu dibatalkan selepas vokalis kumpulan The 1975, Matt Healy bertindak mencium rakan sejantina yang juga gitaris kumpulan di atas pentas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Umat Islam yang telah menonton konsert kumpulan kontroversi, The 1975 dinasihatkan supaya memohon keampunan daripada Allah SWT.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, ia sebagai menzahirkan perasaan kesal walaupun mereka tidak dikira melakukan dosa kerana tidak menjangka tindakan tidak bermoral yang dilakukan di hadapan mereka.

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR

”Ingin ditegaskan agama Islam tidak sama sekali menentang hiburan termasuk konsert muzik, drama, filem dan seumpamanya.

”Yang ditentang dan dilarang oleh Islam adalah hiburan dan apa jua aktiviti seni yang boleh merosakkan fikiran dan kelakuan penonton atau peminat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, kerajaan mengarahkan penganjuran festival muzik kumpulan The 1975 di Kuala Lumpur dibatalkan selepas vokalis kumpulan berkenaan, Matt Healy, bertindak mencium rakan sejantina yang juga gitaris kumpulan itu di atas pentas.

Bukan itu sahaja, Healy turut memegang botol arak di atas pentas selain membuat kenyataan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Kejadian yang berlaku pada hari pertama festival itu telah menimbulkan kemarahan orang ramai termasuk dalam kalangan peminat kumpulan itu sendiri.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, sejarah tamadun Islam tidak pernah menyaksikan sebarang konflik antara agama dan kemajuan termasuk dalam bidang kesenian dan hiburan.

”Apa yang Islam sarankan adalah semua pihak hendaklah sama-sama berusaha ke arah pembinaan masyarakat yang baik, adil dan bersih.

“Tidak wajar bagi sebuah negara yang ingin membangun generasi penerus yang dinamik dan progresif membawa masuk budaya luar yang boleh merosakkan nilai-nilai moral yang amat diperlukan untuk pembangunan dan kemajuan,” katanya.

Tambah beliau, dengan mempamerkan kelakuan tidak sopan oleh vokalis kumpulan berkenaan serta kritikannya terhadap undang-undang Malaysia di dalam konsert tersebut, maka jelas kumpulan The 1975 berniat serong terhadap Malaysia yang rakyatnya masih menghormati nilai-nilai akhlak murni.

”Selain itu, penganjur festival telah membuat akujanji akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap konsert tersebut.

”Maka Kementerian Komunikasi dan Digital berhak membatalkannya dan tidak boleh dipersalahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya