Tuntutan penduduk Iboi di bawah bidang kuasa ICU

Tuntutan penduduk Iboi di bawah bidang kuasa ICU

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Projek-projek yang dituntut oleh penduduk Kampung Iboi di Kupang, Baling yang terjejas dengan banjir lumpur dan kepala air pada 4 Julai tahun lalu berada di bawah tanggungjawab Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi berkata, tuntutan-tuntutan yang dikemukakan ketika Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi itu tidak berada di bawah kerajaan negeri.

“23 projek yang dilulus dan belum dilaksanakan itu semuanya di bawah ICU. Saya hairan semua pakat tala (menyerang) kerajaan negeri kerana yang umum pun Perdana Menteri masa itu, bukan Menteri Besar.

“Bahagian kerajaan negeri kita menjanjikan untuk selesai 12 buah rumah baharu gantian untuk mangsa yang hilang rumah. Urusan-urusan lain di bawah ICU, jangan salahkan kerajaan negeri pula,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Semalam, penduduk Kampung Iboi mendesak beberapa tuntutan termasuk berkaitan pembinaan semula infrastruktur di kawasan itu yang masih belum selesai sejak berlakunya tragedi kepala air setahun lalu dapat disegerakan.

Ketua Komuniti Kampung Iboi, Noor Mohamad Che Husain, 60, berkata, rakyat di kampung itu sangat menderita dan kehidupan mereka tidak sempurna seperti sebelum ini kerana banyak masalah yang timbul sehingga menjejaskan aktiviti harian.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak terlalu banyak bermain politik sehingga menjejaskan tugas hakikinya sebagai menteri serta Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi.

“Saya tak tahu bila dia buat kerja menteri, saya nasihatkan dia beri fokus kepada agensi di bawah KDN kerana kementerian ini sangat berkuasa. Ada isu di Jabatan Pendaftaran, kes 1.2 juta pelancong China tak balik, menteri ganggu-gugat tugas penjawat awam dan pelbagai lagi. Kalau nak kempen mai la malam-malam atau hari cuti.

“Sekali pun dia tak pernah buat mesyuarat (di bawah Majlis Tindakan Ekonomi) lagi, dia pengerusi dan saya pula pengerusi bersama. Tak pernah ada mesyuarat lagi dan itu yang terjadi kalau fokus banyak sangat kepada politik

“Termasuk 23 projek di Kampung Iboi itu kalau mesyuarat dilakukan projek-projek itu akan berjalan sebab perkara terbabit akan diperincikan dalam mesyuarat itu tetapi dia kira main politik saja, kerja tak jalan. Nasihat saya main politik sikit-sikit sudah lah, nak dengar tak dengar dia punya pasai,” katanya.

Mengulas dakwaan Saifuddin kononnya kerajaan negeri ditipu berkaitan sebuah projek mega di Langkawi, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu sudah dijelaskan berulang-kali sebelum ini bahawa ia dilaksanakan oleh pihak swasta dan bukannya kerajaan negeri. 

“Dalam isu pelaburan Widad Langkasuka di kawasan seluas 768 hektar di Langkawi, tugas kerajaan negeri adalah meluluskan permohonan tanah dan syarikat itu membayar premium, yuran komitmen serta cukai tanah. Apa yang berlaku selepas itu adalah urusan mereka. 

“Syarikat ini berstatus listed company dan bukan ‘cokia’. Mereka bukan milik kerajaan negeri serta berpangkalan di Kuala Lumpur dan apabila pada masa itu Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) serta kerajaan negeri yakin dengan kemampuan, kita berilah syarat dan mereka perlu bayar premium tersebut. 

“Kerajaan negeri tak tanggung apa-apa kerugian malah memperolehi pendapatan kerana syarikat tersebut setiap tahun akan membayar cukai tanah berkenaan. Lagi pun syarikat itu mengumumkan jumlah pelaburan RM40 billion untuk tempoh 15 tahun dan bukannya boleh dapat duit itu dalam tempoh sehari lepas umum pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN