KEMAMAN: Fenomena kepala air yang berlaku di Jeram Mawar, Air Putih di sini Sabtu lalu dianggap antara paling dahsyat di negara ini berdasarkan jumlah mangsa korban yang ramai dan penemuan beberapa mayat dalam jarak jauh dari lokasi kejadian.
Kebanyakan mayat ditemukan terdampar di tebing sungai dan tersangkut pada pokok di darat. Malah terdapat mayat mangsa ditemukan itu sejauh kira-kira 25 kilometer daripada lokasi kejadian.
Berdasarkan keadaan mayat yang ditemukan, kepala air yang berlaku antara pukul 5 hingga 6 petang pada hari kejadian telah menyebabkan paras air di kawasan jeram itu meningkat sehingga mencecah kira-kira 10 meter.
Kesemua 10 mangsa yang berkelah di lokasi tersebut dipercayai gagal menyelamatkan diri sebelum dihanyutkan arus deras di Sungai Air Putih-Teladas pada hari kejadian.
Kebiasaannya mayat mangsa lemas ditemukan di dasar sungai atau terapung di dalam sungai, namun mayat mangsa kepala air di Jeram Mawar, Air Putih ini ditemukan dalam keadaan agak tragis.
Selepas lapan jam kejadian dipercayai berlaku, mayat mangsa pertama, Azizah Eiyi, 40, ditemukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari kira-kira 24 kilometer dari lokasi kejadian sebelum mayat anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemukan empat jam kemudian hanya dua kilometer dari lokasi kejadian.
Hari kedua operasi mencari dan menyelamat dilakukan, mayat ketiga iaitu Muhammad Haziq Ziqree, 6, ditemukan pada pukul 11.05 pagi, kira-kira 18 kilometer dari lokasi kejadian, sementara mayat keempat dan kelima iaitu Putri Aryana Umaira, 4, dan kakaknya, Putri Nurerina Natasya, 10 ditemukan sejam kemudian iaitu kira-kira pukul 12.05 tengah hari, pada timbunan kayu yang sama pada jarak enam kilometer.
Mayat bapa mereka, Karim Abdullah, 39, ditemukan tiga jam kemudian iaitu pukul 3.15 petang hanya satu kilometer dari lokasi kejadian manakala mayat ketujuh iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman,18, ditemui semalam pukul 7.45 pagi berhampiran sungai di belakang Masjid Kampung Dadong, iaitu kira-kira 24 kilometer.
Mayat Putri Alleya Maisarah, 16, pula ditemukan pukul 3 petang semalam.
Dua lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin, 14, dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, masih belum ditemukan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, hujan lebat luar biasa sebanyak 106.5 milimeter mungkin faktor utama tragedi tersebut berlaku pada petang Ahad.
“Berdasarkan rekod cerapan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hujan yang berlaku beberapa hari sebelum kejadian hanya 0.5 milimeter hingga 0.9 milimeter, namun pada hari kejadian, hujan terlalu ekstrem berlaku.
“Kita percaya kekuatan air ini cukup ganas, yang mana hujan ekstrem ini menyebabkan kawah yang terbentuk di kawasan air terjun melimpah dan membawa sisa-sisa kayu besar dan batu besar ke Sungai Teladas dan sekali gus menghempap mangsa yang mungkin sedang mandi dan berehat di kawasan kejadian,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Program Geosains Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Muhd. Nur Ismail Abdul pula berkata, tragedi kepala air yang berlaku disebabkan gabungan beberapa faktor antaranya topografi yang curam dan cantuman dua sungai yang menyebabkan berlakunya arus terlalu deras.
Katanya, hujan terlalu lebat beberapa hari sebelum tragedi telah menambah kuantiti air di bahagian hulu sungai terutama kawasan yang mempunyai takungan seperti air terjun.
Menurutnya, air takungan tersebut kemudiannya melimpah disebabkan takat air yang telah melebihi paras normal di kawasan tersebut.
“Air yang melimpah keluar ke bawah sungai daripada takungan tersebut menghasilkan arus yang laju disebabkan bahagian atas yang lebih curam.
“Jika diperhatikan melalui Google Maps, kawasan Jeram Kota mempunyai maksimum ketinggian lebih 100 meter dan aliran laju ini boleh menghakis tebing yang mempunyai tumbuhan dan mengangkut batu serta serpihan pokok kayu mati ke bawah.
“Kemungkinan juga ada tanah runtuh di bahagian atas bukit yang menyebabkan arus deras itu menghasilkan fenomena kepala air dengan impak bencana yang sangat dahsyat,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, dua batang sungai yang bercantum juga boleh meningkatkan kekuatan arus di bahagian bawah sungai tersebut dan keadaan diburukkan lagi dengan bawaan serpihan tanah runtuh dari atas bukit.
Menurutnya, bentuk topografi di Sungai Kemaman juga mencecah ketinggian 400 meter (m) manakala di kawasan rekreasi Sungai Nipah (76m), Jeram Kota (100m) dan Sungai Nipah (56m). – UTUSAN











