PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kedaulatan undang-undang negara akan diperlekehkan penjenayah sekiranya Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 tidak dihidupkan semula.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, ketika modus operandi jenayah semakin berliku, PDRM perlu diberikan ‘taring’ untuk mendepani kumpulan penjenayah khususnya sindiket jenayah terancang dan perjudian di negara.
Namun, menurut beliau, tanpa POCA, tindakan drastik tidak boleh dilaksanakan PDRM sebaliknya terpaksa mengambil masa yang panjang untuk mengekang aktiviti jenayah terancang.
“Penjenayah kini bukan seperti dahulu. Mereka sudah kehadapan dengan pelbagai modus operandi baharu yang sentiasa berubah-ubah. Ia memberi tekanan kepada PDRM untuk mengekang aktiviti jenayah tersebut.
“Siasatan di bawah Kanun Keseksaan (KK) yang digunakan ketika ini terhadap aktiviti jenayah terancang mengambil masa terlalu lama dan secara tidak langsung PDRM seperti diperlekeh sebelum tindakan boleh diambil terhadap penjenayah itu. Ia tidak efektif,” katanya.
Justeru, Shahul mengesyorkan kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera melaksanakan penelitian terhadap isu membabitkan POCA bagi membolehkan akta tersebut dibentangkan semula di Parlimen.
“Undang-undang ini sangat penting untuk memastikan ketenteraman negara terjamin, jadi KDN haruslah percepatkan proses penambahbaikan akta tersebut supaya ‘taring’ dapat dikembalikan kepada PDRM,” jelasnya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husein berkata, polis memerlukan POCA bagi memudahkan penguatkuasaan memerangi pelbagai jenayah terancang seperti judi yang mana sindiket itu ketika ini sedang mengaut keuntungan besar.
Kata Razarudin, selepas POCA digantung, polis hanya menggunakan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dalam usaha membanteras aktiviti judi namun ia tidak cukup untuk memerangi kegiatan tersebut.
Sebelum ini, POCA digubal bagi membendung kegiatan jenayah terancang termasuk aktiviti kongsi gelap, jenayah bersindiket atau jenayah berat di negara.
Di bawah akta tersebut, tahanan pada peringkat pertama dibenarkan direman sehingga 21 hari sebelum dilanjutkan ke peringkat kedua iaitu selama 38 hari.
Akta itu dipinda sebanyak lima kali iaitu pada tahun 1983, 2013, 2014, 2015 dan 2017 susulan pemansuhan Akta Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.
Bagaimanapun, pada April tahun lalu, Mahkamah Persekutuan berkata Seksyen 4 dalam POCA adalah tidak berperlembagaan kerana mencabul kuasa kehakiman dan juga mencabul doktrin pengasingan kuasa, justeru akta tersebut digantung daripada diguna pakai oleh PDRM sehingga hari ini. – UTUSAN










