STPM: 112 pelajar di Terengganu peroleh semua A  - Utusan Malaysia

STPM: 112 pelajar di Terengganu peroleh semua A 

SEBAHAGIAN daripada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM 2022 bergambar di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu terus melakar kecemerlangan dalam pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 apabila mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.04 berbanding PNGK 3.03 yang direkodkan pada tahun lalu.

Keputusan itu menyaksikan negeri Terengganu turut mengatasi PNGK peringkat kebangsaan iaitu 2.82. 

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kasman Embong berkata, keputusan kali ini sangat membanggakan apabila seramai 112 pelajar memperolehi semua A dengan PNGK 4.00.

Menurutnya, ia adalah peningkatan hampir sekali ganda berbanding hanya 64 orang pelajar memperolehi semua A dengan PNGK 4.00 pada tahun 2021.

“Selain itu, sebanyak 38 daripada 46 buah sekolah mengatasi PNGK kebangsaan dan 43 buah sekolah lulus penuh 100 peratus.

“Kali ini, keputusan calon bandar semakin baik dengan PNGK 3.05 mengatasi calon luar bandar iaitu PNGK 2.99,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM Terengganu 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Menurutnya, prestasi PNGK sekolah di Terengganu juga menunjukkan peningkatan dengan rekod 3.02 pada 2019, 2020 (3.03) dan 2021 (3.03).

Seramai 2,178 calon telah mendaftar untuk  STPM di 46 pusat peperiksaan seluruh Terengganu pada tahun lalu.

Dalam majlis tersebut, SMK Penarek, Setiu muncul sekolah terbaik dengan PNGK 3.43 manakala daerah Besut menjadi daerah terbaik dengan catatan PNGK 3.19.

Selain itu, SMK Sultan Sulaiman dinobatkan sekolah anjakan terbilang apabila 16 calonnya mendapat semua A dengan PNGK 4.00 berbanding hanya empat orang pada tahun 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya