PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan ke atas sebuah jabatan di bawah Kerajaan Negeri Sabah berhubung dakwaan penjualan air kepada pihak ketiga sehingga memaksa penduduk mendapatkan bekalan air terawat pada harga yang sangat tinggi.
Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman mendakwa, kadar bekalan air yang perlu dibayar oleh penduduk turut meningkat sehingga 15 kali ganda berbanding sebelum ini.
“Ia adalah berkenaan isu penjualan air kepada syarikat swasta oleh sebuah jabatan yang menimbulkan tanda tanya kerana kadar yang dijual agak mahal dibanding dengan yang dibekalkan oleh jabatan berkenaan.
“Sebagaimana kita sedia maklum, jabatan berkenaan tidak sepatutnya menjual air kepada pihak swasta, jadi maklumat berkaitan pengadu sudah diserahkan kepada SPRM untuk siasatan secara terperinci,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Terdahulu, bekas ahli Parlimen Sepanggar itu bersama Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi menemani seorang penduduk, Loi Kok Liang dari Kota Kinabalu, Sabah yang terkesan akibat krisis air untuk membuat laporan.
Mengulas lanjut, Mohd. Azis berkata, pihaknya sama sekali tidak membuat sebarang tuduhan melulu kepada mana-mana pihak, namun meminta satu siasatan secara terperinci dijalankan SPRM berikutan isu tersebut didakwa sudah berlanjutan hampir setahun.
Jelasnya, krisis air yang berlaku di negeri berkenaan bukan sahaja merencatkan urusan seharian penduduk, malah turut memberi kesan terhadap sektor perkhidmatan, perhotelan dan lapangan terbang.
“Baru-baru ini ada satu surat tular melibatkan sebuah hospital wanita dan kanak-kanak mengutus surat kepada seorang menteri Sabah mengenai kos pembayaran bil mereka dalam tempoh 23 hari yang mencecah RM145,000, sedangkan bil mereka sebelum ini sekitar RM220,000 dalam tempoh setahun.
“Bil ini mereka terpaksa bayar kepada pihak ketiga iaitu pihak swasta yang mana satu kos cukup tinggi dan mahal iaitu 15 kali ganda jika dibandingkan dengan kadar jabatan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Junz Wong yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru berkata, pelbagai cara dilakukan olehnya sebelum ini bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung dakwaan penjualan bekalan air kepada pihak ketiga termasuk menerusi sidang DUN.
“Tanya (menteri) dalam sidang DUN tak dijawab, tanya soalan secara bertulis pun tak jawab dan melalui laporan media pun (sama),” ujarnya. – UTUSAN
//










