PETALING JAYA: Impian pempengaruh Mimi Peri untuk melihat Menara Berkembar Petronas (KLCC) tertunai apabila diundang ke Malaysia bagi mempromosikan filem terbarunya, Mat Tudung Begins.
Mimi atau nama sebenarnya Ahmad Jaelani, 35, dalam pada masa yang sama tidak menyangka mempunyai peminat dari Malaysia apabila ramai yang menyerbu dan meminta izin untuk bergambar dengannya di sekitar KLCC.
“Selalunya saya hanya tengok menara itu di dalam televisyen atau melalui media.
“Kali ini saya benar- benar datang dan mengambil foto di sana sehingga viral. Saya memang sudah lama ingin melihatnya dan Ahamdulillah Datuk Fizz Fairuz membawa saya ke sini.
“Saya bersyukur banyak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tayangan perdana filem Mat Tudung Begins.
Membawakan watak Mimi Peri dalam Mat Tudung Begins, anak kelahiran Kendari, Sulawei Tenggara Indonesia bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dalam naskhah yang menggabungkan dua negara.
“Saya menerima tawaran ini kerana ia sebuah pengalaman baru yang menggabungkan Malaysia dan Indonesia.
“Saya tidak percaya, berdebar dan tak boleh tidur sebulan memikirkan macam mana keadaan di Malaysia kerana saya tidak pernah ke luar negara.
“Saya minta izin emak. Dia pesan hati-hati di Malaysia. Ternyata impian saya menjadi pelakon dikabulkan Allah,” katanya yang sebelum ini pernah berlakon dalam drama dan filem di Indonesia.
Sepanjang bergelar pempengaruh, Mimi turut mendedahkan pernah menerima pelbagai kecaman dan kritikan termasuklah ada yang pernah memintanya membuat pembedahan plastik.
“Sebelum ini ada yang merendahkan dan menghina saya. Jadi saya fikir, tidak mungkin saya diterima di Malaysia.
“Bagi saya mereka mungkin bosan dan menghina orang lain itu adalah hobi mereka.
“Saya tidak mahu ubah ciptaan Allah. Dengan muka begini sahaja saya diterima berlakon filem,” katanya lagi sambil ketawa.
Mat Tudung Begins menceritakan tentang seorang lelaki bernama Johari yang bekerja di sebuah hotel. Dia dan rakan sekerjanya cuba memberi perkhidmatan terbaik kepada juri The Forbest yang bakal memberi penilaian kepada hotel mereka.
Turut memeriahkan filem berkenaan ialah pelakon seperti Datuk Fizz Fairuz, Achey, Isyariana, dan Maryam Durian Kimchi.
Mat Tudung Begins bakal ditayangkan pada 3 Ogos ini.