PUTRAJAYA: Selepas hampir lima tahun dalam buruan pihak berkuasa, bekas peguam 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan ditahan polis di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Jasmine baru pulang dari luar negara ketika polis menangkapnya.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap ke atas Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan Eric Tan Kim Loong.
Ia dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.
Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), Jasmine menerima AS$5 juta (RM23.2 juta) ketika fasa Aabar-BVI skandal 1MDB dan AS$10 juta (RM46.5 juta) ketika fasa Tanore skandal tersebut.
Dalam sidang akhbar semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, wanita itu direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Sabtu lalu.
Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah.
“Peguam suspek memaklumkan, anak guamnya sedia memberi kerjasama kepada polis dan Kerajaan Malaysia berhubung kes itu,” katanya.

Saifuddin bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut perkembangan kes dan menyerahkan dahulu kepada polis bagi siasatan lanjut.
“Biar polis jalankan tugas dahulu, saya tidak mahu komen. Kes ini (1MDB) memang belum selesai, apapun tindakan lanjut biar ikut lunas undang-undang,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine.
Kedua-dua kenderaan itu masing-masing jenis Audi dan Volkswagen New Beetle disita pada 27 Januari 2021, manakala wang dalam akaun semasa Maybank Islamic miliknya disita pada 2 Februari 2021.
Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Casey dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.
Pihak berkuasa Swiss memburu pasangan itu sejak 10 Julai 2018 selepas pertemuan Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber dengan rakan sejawatannya di Putrajaya.
Bloomberg melaporkan bahawa kedua-dua Tang dan Loo tidak disenaraikan dalam rekod telefon awam dan organisasi berita itu tidak dapat menghubungi mana-mana peguam atau wakil mereka.
Jasmine digambarkan sebagai ‘perantara utama’ antara 1MDB dengan Goldman Sachs, yang kini disiasat oleh pihak berkuasa AS tentang peranannya membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion antara 2012 dan 2013.
Wanita itu adalah bekas pengarah eksekutif strategi kumpulan 1MDB dan didakwa termasuk dalam lingkaran dekat Jho Low.
Dia juga didakwa menerima dana 1MDB yang diselewengkan dan menjadi sekutu kedua Jho Low yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.
Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Kee Kok Thiam, seorang lagi yang didakwa sekutu Jho Low, selepas dia dihantar pulang oleh pihak berkuasa Macau kerana berada di sana melebihi tempoh yang ditetapkan visanya. –UTUSAN










