PETALING JAYA: Kumpulan rock legenda, Search dan Wings bakal menggegarkan pentas Nusafest di Bandar Malaysia, Sungai Besi, malam ini.
Acara dua hari anjuran Shiraz Projects Sdn. Bhd. itu dilaksanakan bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam, selama dua hari berturut-turut.
Selain Search dan Wings yang bakal menjadi tumpuan malam ini, Nusafest juga menggabungkan barisan 24 suara nusantara merentasi tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Festival ini dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan pemuzik yang terdiri daripada pelbagai genre sama ada rock, ska, rap, grunge dan reggae.
Antara barisan pemuzik yang terlibat adalah Kugiran Masdo, Salammusik, Forceparkbois, Iqbal M., White Percussion Unit, Jemson, Budak Nakal Hujung Simpang, Gerhana Skacinta dan Monoloque.
Dari Indonesia, festival ini membawakan Fourtwnty, Barasuara, Pusakata, Efek Rumah Kaca, Kelompok Penerbang Roket, The Changcuters, Burgerkill, Seringai, Diskoria, Dipha Barus dan Ras Muhamad.
The Pinholes pula merupakan bakat sulung yang berasal dari Singapura.
Selain penangan muzik yang pelbagai sepanjang hari ini dan esok, pengunjung juga berkesempatan untuk menikmati Pasar Nusa, sebuah kurasi istimewa hasil kolaborasi bersama R!UH.
Diadakan di ruangan pesawat lama Bandar Malaysia, kurasi kreatif ini menghimpunkan sebanyak 60 jenama barangan dan hasil daripada penggiat industri kreatif selari dengan misi dan visi R!UH sebagai sebuah inisiatif yang menghubungkan komuniti kreatif dengan orang ramai.
Nusafest juga menyediakan sekitar 60 warung makanan dan minuman serta 20 trak makanan yang merangkumi vendor-vendor terkenal tempatan seperti Kopi Dua Darjat, Minuum KL, Laiyan KL, Miker Pizza, Sloopyan Hotdog, Nachoslah Global, Kelava dan The Gorpis.
Buat peminat makanan dan minuman Nusantara, hidangan dari Indonesia juga disediakan khusus buat pengunjung.
Ikuti Instagram riuhinthecity untuk maklumat lanjut berkenaan Pasar Nusa. Tiket boleh dibeli melalui www.nusafest.com.