ALOR SETAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar memulangkan paku buah keras kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung kenyataan yang mendakwa kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) akan terlerai menjelang pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut Mahfuz, tanggapan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu meleset kerana kedua-dua gabungan itu kini menjalin kerjasama amat erat untuk memenangkan calon PH dan BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam enam negeri terlibat PRN.
Sebaliknya kata beliau, Muhammad Sanusi kini terlihat sebagai pemimpin yang gagal apabila dua pemimpin Pas di Langkawi bertanding sebagai calon Bebas setelah tidak bersetuju dengan pemilihan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mewakili PN di DUN Ayer Hangat dan Kuah.
“Bukan saja di Langkawi, malah DUN Kota Siputeh pun Ketua Bersatu Jerlun bertanding sebagai calon Bebas setelah tidak puas hati dengan calon dipilih PN. Maka, jelas Sanusi gagal memastikan keharmonian dalam gabungan tersebut di negeri sendiri.
“Dua calon yang bertanding sebagai calon Bebas itu merupakan bekas pimpinan Pas di Langkawi. Semua ini menunjukkan pergolakan dalaman dalam PN dan kegagalan Sanusi berunding,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Operasi Pilihan Raya PH, hari ini.
Proses penamaan calon di Langkawi tiga hari lalu menampilkan kejutan apabila bekas Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad bertanding di kerusi DUN Kuah dan Naib Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie bertanding di DUN Ayer Hangat sebagai calon Bebas.
Dakwa Mahfuz, beliau percaya terdapat pemimpin Pas pusat memberi lampu hijau kepada Pas Langkawi untuk bertanding sebagai calon Bebas yang sehingga kini masih berdiam diri dan dilihat tidak berani mengambil tindakan terhadap calon-calon terbabit.
“Kepimpinan parti tidak mengambil tindakan kerana mereka tahu jika hukuman dikenakan, itu hanya akan mengundang kemarahan ahli-ahli. Jadi tiada tindakan diambil atau ‘suara keras’ dikeluarkan terhadap individu yang bertanding Bebas di Langkawi,” katanya.
Katanya, kecelaruan dalam PN tidak hanya di Kedah malah turut melibatkan kepimpinan nasional apabila berdepan masalah sama setelah Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau dinamakan sebagai calon di Bayan Lepas.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, isu melibatkan Nik Mohamad Abduh Nik Aziz yang tidak tercalon pada PRN tidak mustahil akan mendorong kepada penolakan besar rakyat negeri itu terhadap PN.
Katanya, sejarah telah membuktikan ahli Pas di Kelantan tidak akan bersikap walak semberono terhadap pimpinan parti itu yang terbukti pada satu ketika Pas hanya berkelebihan satu kerusi di DUN Kelantan disebabkan calon-calon dikemukakan tidak cakna terhadap kehendak masyarakat.
“Rasanya sejarah itu akan berulang kerana kepimpinan Pas seolah-olah langsung tidak menghiraukan mengenai legasi Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kita tak tahu apa masalahnya tetapi disebut nama Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkaitan hal itu.
“Apabila terdapat gesaan untuk menolak Mohd. Amar, saya fikir bukan beliau saja akan ditolak malah Pas dan PN secara keseluruhannya di negeri itu. Walaupun saya berbeza pandangan dengan Nik Abduh, tetapi bagi saya beliau seorang yang berwibawa. Ada watak Nik Abdul Aziz yang terlihat padanya iaitu ketegasan dalam kelembutan,” katanya. –UTUSAN










