ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor jelas menampakkan beliau memiliki pemikiran singkat apabila membuat kenyataan kononnya parti politik ibarat terikat kaki dan tangan sekiranya tidak dibenarkan bercakap tentang isu 3R.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, Muhammad Sanusi seolah-olah tidak boleh berfikir untuk mencari isu lain bagi dijadikan modal politik walaupun banyak perkara lain yang boleh dibangkitkan serta diberi perhatian olehnya.
Katanya, antara isu yang wajar diberi perhatian adalah nasib 135,000 pencari kerja yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di negeri ini.
“Apabila buat kenyataan begitu, bermakna pemikirannya cukup singkat. Beliau hanya bergantung isu 3R (agama, kaum, raja) untuk dimanipulasi dan dijadikan sentimen meraih undi. Selain itu, beliau juga mahu lari daripada isu di Terengganu yang mana kemenangan calon Pas di Parlimen Kuala Terengganu dibatalkan.
“Kalau dulu boleh laung kononnya Pas bersih kerana tiada pemimpin didakwa di mahkamah akibat rasuah, kini mahkamah dah buktikan yang mereka guna wang. Kalau boleh guna wang untuk raih undi, maka tak mustahil boleh terima wang untuk ganti semula wang dibelanjakan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Tunku di sini, hari ini.
Kelmarin, ketika menjadi tetamu dalam program bual bicara Keluar Sekejap dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan Sufian kelmarin, Muhammad Sanusi mendakwa parti politik ibarat diikat kaki dan tangan apabila dilarang bercakap isu 3R.
Dalam pada itu, Mahfuz tetap mempertahankan keyakinannya sebelum ini bahawa gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) sudah mempunyai 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ‘dalam tangan’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Saya bercakap mengenai perkara realistik dan bukannya bombastik seperti Muhammad Sanusi yang mendakwa Perikatan Nasional mampu menang hingga 33 kerusi. Apa yang dilakukan Muhammad Sanusi itu tidak lebih daripada perang psikologi semata-mata.
“Gabungan dibentuk BN dan PH ini cukup serasi dan kami yakin pengundi yang waras tak akan dapat menerima ucapan demi ucapan Muhammad Sanusi yang bersifat menghasut hingga baru-baru ini dilihat seolah-olah memperlekeh Sultan Selangor. Ini bagi saya satu perbuatan tak boleh diterima,” katanya. – UTUSAN










