Sangka khidmat perunding kewangan, rupanya ah long - Utusan Malaysia

Sangka khidmat perunding kewangan, rupanya ah long

RAYMOND (kanan) ditemani Andrew Chen menunjukkan enam salinan laporan polis yang dibuat terhadap sindiket ah long yang mengugutnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang pemuda meminjam wang sebanyak S$10,000 dolar (RM34,309) bagi tujuan perubatan ibu bapanya membawa padah apabila menjadi mangsa penipuan sindiket ceti haram atau ah long yang menyamar sebagai perunding kewangan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Raymond, 34, menemukan akaun perkhidmatan perunding kewangan itu dalam laman sosial Facebook di Singapura pada 5 Julai lalu sebelum cuba mendapatkan nasihat berkaitan kewangan.

“Sebenarnya saya bercadang meminjam wang sebanyak S$10,000 (RM34,309) untuk kegunaan keluarga termasuk tujuan perubatan ibu bapa. Saya mula mengisi butiran peribadi dalam satu pautan yang dikongsikan laman sosial berkenaan sebelum dihubungi seorang individu yang memberitahu mereka sebenarnya peminjam wang tidak berlesen.

“Disebabkan itu, saya membatalkan hasrat membuat pinjaman tersebut, namun individu berkenaan tetap memaksa saya buat pinjaman. Jadi, saya buat jumlah paling rendah iaitu S$450. Setelah menerima wang itu, individu terbabit meminta saya membuat bayaran sebanyak S$800 untuk menyelesaikan pinjaman itu dan saya terus membayarkan pada hari sama,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Raymond yang bekerja sebagai juruteknik menyangka perkara tersebut telah selesai, namun individu itu kembali menghubunginya dan meminta wang dengan membuat ugutan.

“Kerana bimbang, saya buat lagi pembayaran sebanyak S$5,700. Untuk itu saya terpaksa pinjam wang rakan sebanyak S$4,000.

“Namun selepas pembayaran dibuat, individu itu meminta saya bayar lagi S$15,000 dan kerana saya tidak layan tuntutan itu, mereka membaling cat di rumah rakan saya di Sri Stulang Jumaat lalu dan rumah saya di Permas Jaya, semalam,” katanya.

Menyedari dirinya terus diganggu, Raymond kemudian membuat dua laporan di Balai Polis Toa Payoh di Singapura pada 13 Julai lalu.

“Saya kemudian turut membuat empat laporan di Balai Polis Seri Alam, Balai Polis Permas Jaya dan Balai Polis Taman Pelangi kerana bimbang tentang keselamatan diri. Saya menyesal kerana telah menekan pautan di Facebook dan menyeru orang lain agar tidak mudah tertipu dengan memberikan maklumat peribadi dalam laman sosial seperti saya,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng berharap sindiket ah long tersebut menghentikan tindakan mengugut mangsa kerana enam laporan polis telah dibuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN