Rundingan mampu selesaikan isu peniaga Pantai Bisikan Bayu

Rundingan mampu selesaikan isu peniaga Pantai Bisikan Bayu

NIK Nasron Nazmi Nik Mohamad (kiri) menunjukkan perjanjian yang ditandatangani danb laporan polis yang dibuat peniaga terlibat dalam sidang media di Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pertemuan antara tiga pihak melibatkan penyewa tanah Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini bersama Tok Aman Bali Beach Resort (TABBR) dan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) perlu diadakan bagi menyelesaikan isu Arahan Pindah dari kawasan seluas 1,760 meter persegi di Lot 8319 pantai berkenaan.

Peguam, Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad yang mewakili penyewa tanah itu berkata, satu surat bagi menyelesaikan polemik berkenaan telah dihantar kepada TABBR yang mewakili syarikat Intergold Entity (M) Sdn. Bhd dan Seri Uda Sdn. Bhd. serta MDPP bagi mengadakan  perbincangan bersemuka.

Menurutnya, hari ini (3 Julai) adalah tempoh tamat Arahan Pindah bertarikh 19 Jun lalu sebagaimana serahan Bailif Mahkamah Sesyen Kota Bharu kepada penyewa yang juga anak guamnya dan juga peniaga yang terlibat dalam lot tanah berkenaan.

PUNCA

“Salah faham di antara TABBR dan MDPP dipercayai menjadi punca yang menyebabkan anak guam kami, asnaf, ibu tunggal dan anak yatim hilang tempat berniaga.

“Kegagalan menyambung kembali perjanjian baharu menduduki tanah sewaan itu menyebabkan anak guam kami gagal mendapatkan lesen perniagaan daripada MDPP kerana  MDPP menetapkan syarat bukti dokumen perjanjian sewaan yang baharu untuk mendapatkan lesen niaga,” katanya dalam sidang media di Pantai Bisikan Bayu, di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 23 Jun lepas melaporkan, 85 peniaga kecil di pantai itu merayu kerajaan negeri membela nasib mereka selepas diarahkan pindah oleh pemilik tanah selepas didakwa melanggar syarat perjanjian.

Nik Nasrun berkata, jalan damai perlu diusahakan bagi menyelesaikan isu berkait agar penyewa yang berusaha membantu golongan kurang berkemampuan terutama asnaf, ibu tunggal dan anak yatim tidak hilang punca pendapatan selain kerugian setelah membangunkan lot berkenaan yang belum mendapat pulangan modal.

“Anak guam kami akur terhadap perintah mahkamah untuk berpindah namun kesukaran mencari tempat baharu selain kos pemindahan yang terpaksa ditanggung. Ini semua berlaku kerana masing-masing (TABBR dan MDPP) menetapkan syarat yang sukar untuk anak guam kami,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi berkenaan mendapati tidak ramai peniaga yang membuka perniagaan di lokasi berkenaan tetapi tiada tanda-tanda peniaga akan memindahkan warung mereka hari ini. 

Difahamkan, sebahagian 16 peniaga di situ turut membuat laporan polis menyatakan rasa tidak puas hati terhadap arahan pindah yang menyebabkan mereka kerugian dan hilang sumber pendapatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN